KERAJAAN tidak sepatutnya terlibat dalam bidang perniagaan dan perlu menyerahkannya untuk diusahakan sektor swasta, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Katanya tugas utama yang menjadi kepakaran kerajaan bukan berniaga tetapi meluluskan dan menguatkuasa undang-undang.
“Kerajaan tak boleh uruskan perniagaan, tugas kerajaan seharusnya meluluskan undang-undang dan hukum orang, kamu buat salah kami tangkap dan hukum, itu kami sangat efisyen.
“Tapi untuk uruskan perniagaan kami tidak efisyen, kami akan rugi, sektor swasta mereka tahu buat duit, mereka ada idea,” kata Dr Mahathir.
Beliau berucap ketika merasmikian Dash Resort, Ri-Yaz Hotels and Resorts di Langkawi yang menurutnya satu contoh kejayaan sektor swasta.
Jelasnya pengusaha itu berjaya menukar bangunan yang dahulunya pejabat kerajaan menjadi tempat penginapan menarik dan dan bertaraf tinggi.
Tambahnya, kerajaan mahu pihak swasta berjaya dalam perniagaan yang diceburi kerana keuntungan yang diperolehi akan dikembalikan semula kepada kerajaan.
“Kerajaan tidak bantah kamu buat duit kerana 36% akan kami dapat semula. Kami mahu orang berjaya dalam perniagaan supaya kami dapat duit.
“Kami tidak melabur sesen pun tapi kami dapat 36%,” katanya ahli Parlimen Langkawi dalam kunjungan bulanannya ke pulau peranginan tersebut.
Beliau turut mengulangi tegurannya kepada rakyat Malaysia yang enggan bekerja dalam sektor tertentu sehingga kerajaan terpaksa membawa masuk pekerja asing.
Katanya, sikap itu akan menyebabkan negara seperti Vietnam mendahului Malaysia sedikit masa lagi kerana mempunyai rakyat yang ramai dan rajin bekerja.
“Vietnam akan menjangkaui Malaysia kerana rakyatnya sangat rajin dan lebih ramai dari rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia tak perlu bekerja kerana kerajaan bagi duit.
“Kami bawa masuk pekerja asing untuk mengisi kekosongan jawatan dalam negara. Pekerja asing akan bekerja dan hantar duit mereka balik, kemudian ada belanja sedikit duit.
“Kerajaan dapat kutip daripada cukai dan kami beri kepada rakyat Malaysia kerana mereka ini ramai orang kurang upaya (OKU),” kata Dr Mahathir secara sinis.
Pada 28 Ogos lalu, Dr Mahathir berkata kerajaan akan mengurangkan jumlah pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan seterusnya menghentikan amalan dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu.
Dr Mahathir menegaskan, rakyat tidak patut rasa berhak mendapat wang tanpa melakukan sebarang kerja.
Bantuan wang tunai secara sekali itu dimulakan pentadbiran bekas Perdana Menteri Najib Razak pada 2012 kepada golongan rakyat berpendapatan rendah mengikut pendapatan isi rumah masing-masing.
Ketika pembentangan Bajet 2019 lalu, kerajaan mengumumkan pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada penerima yang layak dengan kos sebanyak RM5 billion bagi 4.1 juta isi rumah.
Jumlah itu lebih rendah berbanding RM6.8 bilion yang diperuntukkan BN untuk BR1M yang diagihkan kepada 7.2 juta penerima. – 25 November, 2018.
Komen