Najib arah gugur perenggan sebut Jho Low hadir mesyuarat 1MDB


PADA 23 November 2018, saya telah menyampaikan taklimat kepada Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai pindaan kepada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan berkenaan dimuktamad dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016. 

Jemaah Menteri telah mengarahkan saya untuk mengeluarkan kenyataan media berkenaan perkara ini. 

Berdasarkan kronologi yang disediakan oleh pasukan Audit 1MDB, Jabatan Audit Negara Malaysia (JANM), mantan Ketua Setiausaha Sulit kepada mantan Perdana Menteri, Shukry Salleh, pada 20 Februari 2016, telah meminta pasukan Audit 1MDB untuk mengemukakan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB untuk dibincangkan bersama mantan Perdana Menteri.

Seterusnya, pada mesyuarat dengan mantan Perdana Menteri pada 22 Februari 2016 di pejabat Perdana Menteri dengan kehadiran mantan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ali Hamsa dan mantan Ketua Setiausaha Sulit kepada mantan Perdana Menteri bersama mantan Ketua Audit Negara (KAN), Ambrin Buang, mantan Perdana Menteri telah mengarahkan pengguguran perenggan yang mengandungi dua (2) versi Penyata Kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014 dan mengarahkan siasatan dijalankan oleh pihak penguatkuasa. 

Sehubungan itu, pembentangan laporan tersebut kepada PAC yang dijadualkan pada 24 Februari 2016 telah ditangguhkan kepada 4 dan 7 Mac 2016.

Pada 23 Februari 2016, dalam satu mesyuarat di pejabat KSN yang dihadiri oleh mantan KSN, mantan Ketua Setiausaha Sulit kepada mantan Perdana Menteri dan mantan KAN, pasukan Audit 1MDB telah dimaklumkan bahawa kerajaan telah mengkategorikan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebagai satu krisis.

Seterusnya pada hari berikutnya, iaitu pada 24 Februari 2016, dalam satu mesyuarat yang dihadiri oleh mantan KSN, mantan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, mantan Setiausaha Sulit Kanan kepada KSN, mantan KAN dan mantan Pengarah Audit telah membincangkan mengenai Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Hasil perbincangan ini, beberapa perenggan lagi dalam laporan tersebut telah diarahkan untuk digugur dan dipinda.

Pada 25 Februari 2016, pasukan Audit 1MDB telah diarahkan oleh mantan KSN untuk menghadiri mesyuarat di pejabatnya bersama mantan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB bagi meneruskan perbincangan mengenai laporan tersebut di mana beberapa lagi penemuan yang dilaporkan telah digugurkan dan dipinda. 

Seterusnya, pada sebelah petang hari yang sama, mantan KSN bersama mantan KAN, mantan Pengarah Audit dan mantan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB dan tiga pegawai lain telah meneruskan perbincangan mengenai laporan tersebut.

Seterusnya pada 26 Februari 2016, mantan Ketua Setiausaha Sulit kepada mantan Perdana Menteri telah mengarahkan mantan Pengarah Audit untuk menggugurkan perenggan berkaitan kehadiran Low Taek Jho dalam salah satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB atas alasan ianya sensitif dan untuk mengelakkan fakta diputar-belit oleh pihak pembangkang.

Pada 28 Februari 2016, mantan Setiausaha Sulit Kanan kepada mantan KSN telah meminta laporan tersebut yang telah dipinda, diserahkan kepada beliau.

Pada 29 Februari 2016, Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang telah dipinda telah diserahkan kepada mantan KSN. Pada 1 Mac 2016, mantan KSN telah mengarahkan pasukan Audit 1MDB sekali lagi hadir ke pejabat beliau untuk membincangkan semula laporan akhir yang telah dipinda.

Semasa sesi ini, hanya mantan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB hadir dan beliau telah menyemak semula laporan tersebut secara terperinci bersama pasukan Audit dan meminta dibuat beberapa perubahan (gugur atau pinda) lagi kepada laporan tersebut.

Pada 2 Mac 2016, Laporan Akhir Pengauditan 1MDB telah dicetak dan seterusnya pada 3 Mac 2016, dua naskhah laporan tersebut telah diserahkan kepada mantan Setiausaha Sulit Kanan kepada mantan KSN.

Pada 4 dan 7 Mac 2016, mantan KAN telah membentangkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB di hadapan PAC.

Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum pindaan telah diserahkan kepada SPRM dan PDRM untuk siasatan lanjut pada tahun 2018. – 25 November, 2018.

* Dr Madinah Mohamad adalah Ketua Audit Negara Malaysia.*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen