Memupuk kesatuan nasional perlu kepimpinan dan strategi yang koheren


SAYA bimbang dengan perkembangan semasa hubungan antara agama dan kaum. Hubungan yang sepatutnya diperkukuh, seolah-olah dicarikkan dengan sengaja dan tidak sengaja.

Ada yang sengaja menangguk di air keruh untuk kepentingan politik. Agenda mereka tidak relevan jika rakyat negara ini sehati sejiwa. 

Maka mereka sengaja mengapi-apikan perpecahan agar mereka nampak juara. Cara mereka ini menyebabkan ada rakyat yang bertindak sendiri merosakkan keadaan.

Ada yang tidak sengaja kerana memilih masa dan tempat yang salah untuk menyuarakan komen atau pandangan dalam isu yang bukan prioriti. Mereka terlupa bahawa niat yang baik tidak boleh menjadi justifikasi cara yang silap.

Kita seharusnya bersatu dalam memberi keutamaan kepada agenda memajukan ekonomi, perkongsian kekayaan yang adil, menjaga kebajikan rakyat, dan pemantapan institusi. Tidak perlulah kita menimbulkan isu yang hanya melemahkan agenda perubahan. 

Jika kita fokus kepada memajukan ekonomi, perkongsian kekayaan yang adil, menjaga kebajikan rakyat, dan pemantapan institusi, maka kematangan akan bertapak secara semulajadi dalam minda rakyat, lantas membolehkan pelbagai isu diperdebat dengan lebih sihat.

Pada waktu yang sama, satu pendekatan yang lebih tersusun perlu diwujudkan untuk membina rakyat yang berminda terbuka. Dr Mahathir sudah lama bercakap mengenai pentingnya perubahan nilai dan sikap. Dalam buku Malay Dilemma, perkara ini dibincangkan dengan mendalam.

Tetapi untuk merobah bangsa ke arah budaya baru yang disebut oleh Dr Mahathir, kita memerlukan strategi dan naratif yang dilaksanakan oleh semua pihak secara koheren. Strategi dan naratif itu kini seolah-olah tiada, menyebabkan kita sering menjadi defensif.

Bagi saya, nilai-nilai progresif dan jiwa merdeka yang Dr Mahathir sebutkan perlu diwar-warkan oleh semua agar kita benar-benar memimpin ke arah perubahan dan bukan responsif semata-mata. 

Pemimpin sikapnya memimpin, bukan hanya mencerminkan sikap semasa. – 25 November, 2018.

*Wan Saiful Wan Jan merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.*
 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen