Keberanian politik dan realiti Malaysia


The Malaysian Insight

APABILA rakyat Malaysia mengundi pada 9 Mei lalu, majoriti mereka memberanikan diri meneroka daerah yang asing dengan menumbangkan kerajaan, menggantikannya dengan seorang pemimpin veteran dan bekas musuh politik dan pengkritiknya.

Keyakinan mereka yang berubah dipermudahkan oleh kleptokrat dan penyangak yang bongkak.

Pun begitu, rakyat Malaysia yang menyokong Pakatan (PH) pada 9 Mei faham akan realiti politik Malaysia. Mereka cuma tidak mahu kerajaan baharu Mahathir bersikap sambil lewa dalam membuat keputusan.

Kita tidak boleh terima alasan, kerajaan tidak akan membentangkan undang-undang baru kerana PH tiada majoriti dua pertiga di Parlimen bagi meluluskan undang-undang itu. Apatah lagi, PH masih belum menguasai Dewan Negara.

Tarik tali dalam isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan pengumuman pembatalan tidak meratifikasinya adalah satu contoh.

Ia ternampak seperti kenyataan pengecut daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan PH. Tiada bezanya dengan kenyataan beliau bahawa peranan dan kuasa peguam negara tidak akan diasingkan kerana PH tidak pasti sejauh mana langkah itu akan mendapat sokongan yang diperlukan.

Ini juga alasan mengelak. Bagi sebuah gerakan politik yang mendapat kuasa atas mandat agenda reformasi, adalah munasabah untuk membawa idea pembaharuan itu ke puncak segala perubahan, iaitu Parlimen.

Kalau wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak menyokong mana-mana rang undang-undang, tahulah pengundi mengajar mereka pada pilihan raya akan datang.

Barangkali yang lebih membimbangkan ialah keresahan ada sesetengah ahli parlimen PH mungkin tidak mendukung rombakan ke atas sistem yang menyebabkan pembaziran, salah guna kuasa dan melahirkan perompak.

Adakah Dr Mahathir sekarang tidak yakin barisan kerajaannya akan menyokong pembaharuan?

Ini sesuatu yang mendukacita dan meresahkan. – 25 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen