Najib Razak kini digelar pengkhianat oleh Utusan Malaysia ekoran pendedahan bahawa bekas perdana menteri itu mengarahkan agar meminda laporan jawatankuasa Parlimen ke atas 1MDB.
Lidah pengarang akhbar itu yang menggunakan nama olok-olok Awang Selamat juga menyatakan kekecewaan pada pegawai tinggi kerajaan lantikan Najib yang didakwa bersekongkol dalam penipuan itu.
“Bagi Awang, sekiranya ia benar-benar berlaku, ini merupakan satu pengkhianatan tertinggi ke atas amanah yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat kepada Najib dan para penjawat awam.
“Lebih-lebih lagi sebagai penjawat awam yang termaktub dengan sumpah dan janji perkhidmatan, mereka yang terlibat telah mencalar dan menconteng arah kepada imej perkhidmatan awam,” rencana itu dipetik.
Dakwaan pindaan itu merujuk kepada fakta bahawa jutawan Low Taek Jho atau Jho Low sememangnya menghadiri mesyuarat lembaga pengarah 1MDB bersama Najib.
Ketua Audit Negara Dr Madinah Mohamad hari ini mengesahkan bahawa Najib mengarahkan agar fakta itu tidak disebut dalam laporan akhir audit 1MDB yang dibentang ke Jawankuasa Kira-Kira Wang Negara pada Mac 2016.
Katanya, keputusan meminda laporan itu didakwa dibuat melalui arahan Najib melalui ketua setiausahanya pada waktu itu Shukri Mohd Salleh.
Ia didakwa dibuat dalam satu mesyuarat di pejabat perdana menteri pada Februari 2016 dengan disokong oleh bekas ketua audit negara Ambrin Buang dan bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa.
Dua lagi yang turut dilaporkan menyokong keputusan itu adalah bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad. – 25 November, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Barani Krishnan · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Barani Krishnan · Ulasan