Ada menteri takut jumpa media, penjawat awam, kata PM


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata ada menteri baharu dalam Kabinetnya takut untuk bertemu pemberita dan penjawat awam yang lebih berpengalaman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2018.

DR Mahathir Mohamad mendedahkan terdapat menteri baharu dalam Kabinetnya yang takut untuk bertemu pemberita dan penjawat awam yang lebih berpengalaman.

Malah terdapat menteri yang enggan bertemu wakil sektor swasta sehingga wakil tersebut mengadu kepadanya, kata perdana menteri.

“Menteri baru ini mereka takut nak jumpa pegawai lebih berpengalaman daripada mereka. Mereka serba salah, lebih baik mereka tak jumpa daripada jumpa.

“Malahan, media pun ada antara mereka yang lari, mereka takut. Orang baru ini dia takut sikit, tapi lama kelamaan saya nasihatkan mereka bukan saja perlu mesra kepada kakitangan awam tapi juga sektor swasta.

“Saya kenal seorang menteri, lapan kali sektor swasta nak jumpa dia tapi dia tak nak. Mereka kecewa akhirnya mereka datang jumpa saya,” kata ahli Parlimen Langkawi itu.

Beliau mendedahkan perkara itu sewaktu pentadbirannya dihujani kritikan kerana masih tidak banyak menunjukkan perubahan walau sudah lebih enam bulan membentuk kerajaan.

Dr Mahathir berkata beliau menghadapi keadaan itu dengan sikap berbeza walau kini terpaksa berurusan dengan pegawai baharu kerana lebih berpengalaman.

“Saya dah lama, 22 tahun, dulu jadi perdana menteri, ni jadi lagi, jumpa pegawai kerajaan tidak ada apa. Saya mesti ada urusan dengan pegawai kerajaan, yang buat kerja pegawai bukan saya, saya setakat bagi arahan saja.

“Saya selesa dengan pegawai senior atau junior masa saya perdana menteri, sekarang saya kena bekerja dengan anak-anak mereka yang bapa mereka pernah bekerja dengan saya.

“Macam Perdana Menteri Kanada (Justin Trudeau), bila bapanya meninggal dunia, dia dah besar kena kerjasama dengan dia. Saya 93 tahun, dia 30 tahun, perbezaan umur 30 tahun,” kata Dr Mahathir.

Beliau turut menjelaskan, sebagai pemimpin, mereka harus terbuka untuk bersikap mesra kepada semula pihak.

“Saya jumpa semua orang, program saya setiap hari, setengah jam saya jumpa orang sampai pukul 6 petang. Nak buat kerja apa pun tak boleh.

“Tapi saya perlu jadi mesra. Saya nasihatkan untuk mereka jadi mesra dengan semua orang, (saya tunjuk) kepimpinan melalui tauladan,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian ketika pertemuan bersama 207 pegawai kanan kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, malam tadi. – 25 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen