Institusi awam hampir pulih, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata PH berjaya memulihkan jentera kerajaan kepada keadaan sepatutnya untuk memajukan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2018.

SELEPAS hampir tujuh bulan mentadbir, Pakatan Harapan (PH) berjaya memulihkan jentera kerajaan kepada keadaan sepatutnya untuk memajukan negara, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata kerajaan pimpinannya bukan saja berjaya membersihkan penjawat awam, tetapi juga amalan politik tidak sihat.

“Tapi Alhamdulillah dalam masa enam hingga hampir tujuh bulan kita dapat susun negara dengan baik dan jentera yang dibersihkan sehingga hampir kembali kepada keadaan sedia ada.

“Saya sebutkan Malaysia ini negara kita, kita dilahir dan dibesar di sini dan kita akan menjadi warga emas di negara kita ini juga. Tentulah kita berasa sayang kepada negara kita sendiri.

“Tentulah kita akan usaha seboleh-bolehnya untuk membangun semula dan membersihkan negara kita supaya sekali lagi ia akan dikenali sebagai Harimau Asia. Itu hasrat kita,” kata Dr Mahathir.

Dalam pertemuan bersama kira-kira 207 pegawai kanan kerajaan di Langkawi malam tadi, Dr Mahathir berkata pentadbiran PH juga tidak lagi memberikan jawatan kepada orang politik dalam institusi kerajaan.

Katanya, tindakan itu dibuat walaupun ahli politik berkenaan membantu kemenangan parti kerajaan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Kita bersihkan bukan setakat pentadbir kekal tetapi juga yang dipilih rakyat, pegawai atau ahli politik juga mereka terpaksa menghadapi cara-cara pembersihan yang tetap bagi mereka.

“Umpamanya, dulu ahli politik diberi jawatan tinggi dalam badan kerajaan sedangkan mereka tidak cekap dan terlatih dan banyak kesalahan mereka.

“Sekarang kita tentukan jawatan dalam kerajaan dan institusi yang kita tubuhkan akan terdiri oleh mereka yang cekap terlatih profesional bukan ahli politik,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata orang politik tidak boleh memegang jawatan tertinggi dalam institusi kerajaan kerana tidak mempunyai kemahiran.

“Hasrat mereka jadi pegawai tinggi bukan untuk jayakan institusi tapi kepentingan diri. Ini sudah kita hentikan, sehingga mereka yang berhempas pulas memberi kemenangan kepada parti pemerintah hari ini melihat tempat kosong diisi orang lain yang tidak berjuang untuk menjayakan kerajaan PH,” katanya.

Beliau turut mengakui terdapat kalangan ahli politik yang kecewa dengan keputusan itu, namun tindakan harus diambil demi negara.

“Memang mereka kecewa tapi kita tak boleh ambil berat kerana yang lebih utama adalah negara, untuk negara maju perlu pentadbiran terbaik tak ada pilih kasih,” katanya.

Mengulas berhubung isu sabotaj dalam kakitangan awam, Dr Mahathir berkata pembersihan dalam kalangan anggota pentadbiran masih lagi perlu dilaksanakan demi memastikan perkara itu tidak lagi berlaku.

“Pembersihan tak boleh dibuat jangka masa pendek, ia akan ambil masa. Setelah kita bertindak terhadap orang tertentu, ada pegawai yang tidak komited.

“Bukan semua pegawai terlibat, ada antara kita ramai tidak terlibat ada yang terlibat, kerana nila setitik rosak susu sebelanga, kalau nak bersih susu sebelanga, nila setitik itu kena keluarkan, kadang kala kita terkilan kerana masih ada (sabotaj),” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata jumlah mereka semakin berkurangan dan kerajaan akan tetap memberi peringatan untuk membasmi gejala negatif tersebut.

“Hari ini masih ada, tidak semua tapi sudah kurang, belum hilang habis lagi, sebab itu saya masih bercakap perkara ini untuk ingatkan yang tidak terlibat supaya jangan terlibat,” kata Dr Mahathir. – 25 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen