DR Mahathir Mohamad menangkis andaian bahawa kerajaan tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana bimbang hilang sokongan orang Melayu.
Bagaimanapun perdana menteri itu mengakui bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penolakan masyarakat umum dan juga dari kalangan pemimpin parti Pakatan Harapan.
Tambahnya, kerajaan juga memutuskan demikian kerana kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga ahli Parlimen di Dewan Rakyat untuk meminda Perlembagaan.
“Tidak…(keputusan batal ICERD) sebab melibatkan Perlembagaan,” katanya ketika ditanya jika keputusan itu diambil kerana kerajaan khuatir hilang sokongan pengundi Melayu dan tekanan daripada pembangkang.
Jelasnya, dalam ucapan di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada akhir September lalu beliau sudahpun menyebut bahawa tindakan itu bergantung kepada penerimaan rakyat.
“Masa di New York saya telah nyatakan negara kita ini mempunyai penduduk berbilang bangsa, agama dan sebagainya. Perkara nak diratifikasi ini rumit. Kita bukan kata tetap akan ratifikasi, ia berlandaskan penerimaan rakyat.
“Sama ada rakyat terima atau tidak, nampak jelas rakyat tak menerima, bukan kerana politik, kita patuh kepada kehendak rakyat.
“Nak pinda Perlembagaan memerlukan dua pertiga (majoriti Parlimen) kerajaan sekarang tak ada dua pertiga bahkan dalam kerajaan ramai tidak bersetuju,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir menjelaskan pengumuman pejabatnya pada Jumaat lalu bahawa kerajaan akan mempertahankan kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak meratifikasi konvensyen itu.
Beliau turut mengingatkan PAS dan Umno agar tidak meninggalkan sampah di ibu kota ketika perhimpunan yang dirancang diadakan pada 8 Disember.
Katanya sebagai negara demokrasi, kedua-dua parti itu bebas menganjurkan perhimpunan tetapi perlu bertanggungjawab dan tidak mengotori Kuala Lumpur.
“Kita negara demokrasi, dia nak buat demonstasi dia buatlah, jangan buat sampah sudahlah,” kata Dr Mahathir kepada pemberita di Langkawi malam ini.
Beliau seterusnya membidas presiden Umno Zahid Hamidi yang mendakwa keputusan Kabinet membatalkan ICERD tidak mengikut formaliti kerana sepatutnya disahkan oleh Parlimen.
“Kita ada cara yang betul, tanya Ahmad Zahid bila dia bercakap dia ikut cara betul atau tidak.
“Kita dah beritahu keputusan Kabinet, tidak ada keperluan lain nak bawa ke Parlimen, bila ada peraturan ini?” kata Dr Mahathir lagi.
Bantahan ke atas ICERD memuncak apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy mengumumkan kerajaan akan mengesahkan enam triti hak asasi manusia, termasuk konvensyen itu pada suku pertama tahun hadapan.
Ia susulan ucapan perdana menteri di New York pada akhir September, bahawa kerajaan baharu Malaysia akan mengiktiraf semua baki instrumen badan dunia itu berkaitan perlindungan hak asasi manusia.
Susulan bantahan yang timbul itu, Dr Mahathir seterusnya menjelaskan rundingan melibatkan semua kaum akan dilakukan sebelum meratifikasi ICERD.
Beliau juga mengakui langkah meratifikasi ICERD bukan perkara mudah memandangkan Malaysia merupakan negara dengan penduduk berbilang kaum dengan kepentingan tertentu.
Kumpulan masyarakat sivil bagaimanapun mengalu-alukan usaha kerajaan meratifikasi konvensyen itu atas alasan ia penting bagi negara berbilang kaum seperti Malaysia.
Malaysia merupakan salah satu daripada 14 negara yang masih belum mengesahkan perjanjian berkenaan. – 24 November, 2018
Komen