Kabinet tidak ratifikasi ICERD elak masalah di jalanan, kata Khalid 


Desmond Davidson

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad protes terhadap ICERD adalah disebabkan oleh Umno. – Gambar The Malaysian Insight, 24 November, 2018

MENTERI Wilayah Persekutuan Khalid Samad menafikan kerajaan Pakatan Harapan tunduk kepada kumpulan sayap anan Melayu apabila membuat pusingan-U berhubung ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).

Katanya, kabinet membuat keputusan untuk tidak setuju kepada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) “berdasarkan keadaan semasa”.

Ketua penerangan Amanah itu, pada satu jamuan bersama wartawan di Kuching hari ini berkata, sekiranya kabinet meratifikasikan konvensyen, “rakyat yang dikelirukan” akan mencetuskan kekacauan kerana mereka percaya pakatan menentang perlembagaan persekutuan dan kedudukan istimewa Melayu.

“Setakat mana, kami mungkin tidak akan dapat mengesahkannya.”

Khalid berkata kerajaan berharap untuk mengadakan perbincangan terbuka berhubung isu itu.

“Malangnya, apa yang berlaku adalah mereka tidak pernah beri kami peluang untuk bincangkan isu itu.

“Dalam situasi tegang itu, sukar untuk bincang apa-apa perkara.

“Kami tidak mahu memburukkan lagi keadaan.”

Namun apa yang penting, kata Khalid, adalah “dalam analisis akhir, kami (kerajaan) melaksanakan dasar untuk tidak mendiskriminasi terhadap sesiapa sahaja berdasarkan kaum atau kepercayaan agama.”

“Kami sudah lama buat perkara ini. Ratifikasi itu hanya untuk formaliti.

Beliau berkata, apa yang penting sekarang adalah “kami akan terus mendidik rakyat untuk tidak mendiskriminasi”.

Khalid menyalahkan Umno kerana mencetuskan sentimen terhadap ICERD.

Katanya, kebanyakan isu seperti ketuanan Melayu, pihak yang dieksploitasi tidak dinyatakan dalam perlembagaan.

“Ketuanan Melayu tidak pernah ada dalam perlembagaan. Apa yang ada dalam perlembagaan adalah kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera, dan ia bukan ketuanan Melayu.

“Melayu masih perlu bersaing dengan kaum lain. Mereka perlu berusaha.”

Khalid berkata, protes ICERD besar di semenanjung adalah kerana Umno.

Beliau berkata, adalah baik tiada Umno di Sarawak, itu sebabnya “kamu tiada masalah ini”.

Berhubung tuntutan kumpulan pendesak Melayu Perkasa yang mahu kerajaan mengusulkan resolusi di Parlimen untuk “secara rasminya” membantah ICERD, Khalid menyatakan tiada keperluan untuk itu.

Menurutnya tuntutan Presiden Perkasa Ibrahim Alu hanya satu lagi alasan untuk mengadakan demonstrasi.

“Ia adalah cubaan untuk menumbangkan kerajaan menerusi cara yang tidak demokratik agar akhirnya, (bekas perdana menteri) Najib (Razak) selamat, (bekas timbalan perdana menteri Ahmad) Zahid (Hamidi) selamat, dan (bekas menteri wilayah persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor) Ku Nan selamat.

Berhubung rancangan perhimpunan anti-ICERD di Dataran Merdeka pada 8 Disember, Khalid berkata pihaknya tidak menerima sebarang permohonan rasmi untuk mengadakan perhimpunan di situ.

Beliau bagaimanapun berkata, DBKL sebelum ini sudah menyatakan Dataran Merdeka ditutup berikutan projek River of Life. – 24 November, 2018


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen