.jpg)
PERTUBUHAN Ikram Malaysia (Ikram) mengalu-alukan kenyataan Pejabat Perdana Menteri bertarikh 23 November 2018 yang menyatakan kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tetapi akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan ini selari dengan pandangan Ikram bertarikh 30 Oktober 2018 yang berpendirian kerajaan tiada keperluan meratifikasi ICERD dan keutamaan kerajaan seharusnya kepada usaha mereformasi institusi dan sistem-sistem dalam negara.
Walaupun kerajaan bertindak tepat menolak ICERD, namun usaha untuk mengurangkan sikap prejudis dan diskriminasi serta jurang kemiskinan antara kaum yang berbeza dan dalam kalangan kaum yang sama hendaklah diteruskan di bawah semangat Perlembagaan sedia ada.
Kerajaan juga hendaklah melaksanakan reformasi institusi dan polisi yang bertujuan untuk menghapuskan diskriminasi dan membina negara yang inklusif agar semua rakyat dapat menyumbang kepada kemakmuran negara sambil meneruskan tindakan afirmatif bagi golongan yang ketinggalan.
Dengan pendirian kerajaan yang jelas tentang ICERD ini, Ikram berpandangan tidak ada keperluan lagi untuk mana-mana pihak meneruskan perhimpunan 8 Disember yang bertujuan membantah ICERD.
Ikram menghargai penglibatan semua pihak yang memberi pandangan sama ada daripada parti-parti kerajaan, parti pembangkang mahupun NGO dan tokoh-tokoh individu dalam memberi pandangan ke atas perkara ini secara matang dan rasional.
Ikram menyeru agar semua pihak kembali bertenang sambil mengutamakan keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negara. – 24 November, 2018.
* Mohd Parid Sheikh Ahmad adalah presiden Ikram.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen