AHLI Parlimen Selangau Baru Bian hari ini mengakui wujud cubaan untuk menyingkirkannya daripada jawatan pengerusi PKR Sarawak yang sudah disandangnya sejak sembilan tahun lepas.
Tetapi, Baru yang enggan mengalah berkata beliau tidak akan tunduk kepada pencabarnya atau keluar parti yang “saya percaya”.
Berucap kepada penyokongnya yang hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pagi ini untuk mengalu-alukan kepulangannya dari Miri, Baru berkata yang “sangat jelas” terdapat “beberapa orang” cuba mengalih perhatian tentang pemilihan pengerusi PKR negeri, “cuba memecah belahkan kita dan cuba menentukan masa depan kita dalam kerajaan baharu ini”.
Walaupun menteri kerja raya itu tidak menyebut sebarang nama, jelas beliau merujuk kepada Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan ayahnya, Sng Chee Hua.
Minggu lepas, Larry mendakwa pelantikan pengerusi negeri adalah hak Presiden PKR Anwar Ibrahim yang ramai percaya akan menyokong pemimpin muda berbanding Baru.
Tetapi, dakwaan itu serta merta dinafikan Ketua Penerangan PKR Sarawak Vernon Kedit yang berkata pelantikan pengerusi negeri adalah keputusan 29 ketua cabang negeri itu dan bukannya presiden.
“Ada suara yang kita dengar terhasil daripada peruntukan perlembagaan parti,” kata Baru kepada penyokongnya yang membawa sepanduk mengangkatnya sebagai “Lun Bawang”, ketua masyarakat Orang Ulu.
“Pelantikan” itu dibuat oleh Stephen Kuleh, seorang “maren” (orang terhormat) Kayan dari Ulu Rajang.
Baru berkata PKR Sarawak sudah berpadu “bertahun-tahun sejak saya ambil alih pada 2009”.
“Tetapi nampaknya sejak beberapa bulan lepas, kita dengar cubaan untuk mengacau kestabilan dan perpaduan kita.”
Baru juga menjelaskan yang kenyataan Anwar di Kuala Lumpur semalam bahawa “pelantikan pengerusi PKR akan dibuat seperti kebiasaan mengikut perlembagaan parti” melegakan beliau.
“Saya sangat gembira yang isu (prosedur pelantikan) ini sudah disahkan dan dijelaskan. Saya mengalu-alukan kenyataan tersebut.”
Baru berkata menurut perlembagaan parti, pemilihan pengerusi PKR Sabah dan Sarawak bukanlah hak presiden.
“Tak betul untuk kata begitu.”
Katanya, menurut peruntukan dalam perlembagaan, semua ketua cabang perlu diajak berbincang tentang calon pengerusi negeri.
“Ia sangat jelas. Ia sudah dilakukan sebelum ini dan kita tidak akan berganjak daripada itu.
“Semuanya perlu menurut perlembagaan parti.”
Katanya, presiden parti hanya akan dimaklumkan selepas ketua cabang membuat pilihan mereka.
“Beliau (presiden) kemudiannya akan melantik orang itu (sebagai pengerusi).
“Ini adalah salah satu aspek penting PKR, memberikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak yang konsisten dengan tuntutan kita terhadap status setara dengan Semenanjung (seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963).”
Baru berkata walaupun wujud cubaan peralihan kuasa, beliau yakin pemimpin dan ahli PKR di Sarawak sudah matang untuk membuat pilihan.
Menafikan kemungkinan yang beliau akan meninggalkan parti jika diganti, Baru berkata beliau dan penyokongnya menyertai PKR “kerana kami percaya dalam perjuangan menuntut keadilan untuk semua kaum”.
“Saya masih percaya ini (PKR) adalah pilihan terbaik sekarang. Kita akan bersama-sama menentukan masa depan melalui PKR.
“Perjuangan kita masih belum tamat.” – 24 November, 2018.
Komen