.jpg)
HARI ini genap dua tahun akitivis sosial Perlis Hope, Amri Che Mat dihilangkan dalam satu kejadian tidak jauh dari rumah beliau.
Pelbagai usaha dilakukan oleh keluarga dan rakan-rakan beliau, namun sehingga kini masih belum ada kepastian.
Bermula dengan penemuan kereta Toyota Fortune milik beliau dalam keadaan cermin pecah, sehinggalah pihak PDRM Perlis dan rakan-rakan melakukan siasatan demi siasatan bagi mendapat petunjuk, semuanya gagal.
Pihak PDRM ketika itu masih mengklasifikasikan Amri Che Mat sebagai “orang hilang” dan bukannya diculik ataupun kehilangan pemaksaan. Setelah PDRM gagal mendapat sebarang petunjuk, keluarga mendapati siasatan seolah diam begitu sahaja.
Beberapa rakan rapat Amri serta saya tidak putus asa. Kami mengenali watak Amri yang tidak mungkin melarikan diri dan tiada sebab beliau melarikan diri.
Kami menyambung usaha menjejaknya dan cuba mendapatkan apakah ada saksi yang melihat kejadian tersebut dan kelibat-kelibat mencurigakan beberapa hari sebelum kejadian.
Muncul beberapa saksi setelah membaca kes kehilangan Amri di akhbar. Mereka baru menyedari beberapa hari sebelum kehilangan Amri, terdapat beberapa buah kenderaan 4WD, motor dan kereta sedang berada tidak jauh dari rumahnya dalam keadaan mencurigakan di mana enjin kereta tidak dimatikan dan asyik memerhati sesuatu.
Salah seorang mencatatkan nombor salah sebuah kereta Toyota Vios PFC XXXX. Kami membawa semua bahan bukti dan saksi ke pihak PDRM, namun semua jawapan yang kami terima adalah hampa, sedangkan kereta Toyota Vios itu sebenarnya adalah petunjuk utama kejadian tersebut.
Akhirnya kami menemui dua saksi mata yang melihat kejadian tersebut dari jarak 20 meter. Mereka melihat aksi pintas kenderaan Amri oleh tiga buah Toyota Hilux, dua kenderaan biasa dan beberapa motosikal. Mereka melihat kejadian memecah kenderaan Amri, memukul dan mengheret beliau masuk ke dalam salah sebuah kenderaan dan sekali gus melarikan kenderaan Amri.
Semua ini dikatakan berlaku dalam sekitar 20 saat, menggambarkan aksi ini dilakukan kumpulan yang cukup terlatih.
Tidak lama setelah itu tersebar di media sosial kehilangan seorang lagi individu Pastor Raymond Koh yang sebelum ini dikaitkan dengan isu kristinisasi.
Berbeda dengan kehilangan Amri yang berlaku lewat malam tanpa ada CCTV dan cuma saksi yang melihat kejadian, kehilangan Raymond Koh mendapat liputan meluas dengan rakaman yang jelas melalui CCTV dan dilakukan pada waktu siang.
Kami terus bertemu dengan salah seorang saksi dan menunjukkan rakaman YouTube tersebut. Dengan spontan beliau menyebut “sebijik macam malam tu bang”. Ternyata dan jelas Amri bukan melarikan diri tetapi menjadi mangsa kerakusan kuasa “kehilangan pemaksaan” oleh pihak berkuasa.
Tanpa berlengah waktu saya disarankan oleh pihak Suaram untuk membawa kes ini ke Suhakam bagi mendapat keadilan dan jawapan yang sebenarnya.
Inkuiri berlangsung hampir setahun. Beberapa saksi dari PDRM, jabatan agama dan rakan-rakan Amri dipanggil memberi keterangan. Saya hadir hampir semua sesi inkuiri. Hati kecil saya sudah dapat memberikan jawapan tepat punca kehilangan beliau.
Selepas itu kerajaan berubah dari Barisan Nasional ke Pakatan Harapan. Kami semua amat berharap ada sesuatu sinar menanti jawapan di mana Amri sekarang.
Tiba tiba muncul seorang anggota polis bertemu dengan isteri Amri. Dari kenyataan isteri Amri, anggota polis ini memperkenalkan dirinya sebagai anggota Cawangan Khas. Beliau mengaku polis terlibat dalam kejadian ini. Beliau memberikan alasan “tidak mahu lagi subahat” dan meyakini kerajaan baru PH.
Beliau menyampaikan secara terperinci siapa dan pegawai mana yang terlibat. Antara petunjuk utama perbualan mereka adalah pemilik kereta Toyota Vios PFC XXXX terlibat sekali dalam kejadian tersebut.
Saya bukan anggota polis. Tetapi kalau rakyat biasa pun dapat melihat dan kenal pasti petunjuk ini.
Awal sebelum ini, walaupun kami memaklumkan nombor kereta tersebut, polis menafikan dengan pelbagai alasan. Kami membawa penemuan petunjuk ini kepada Suhakam. Paling jelas terang bersuluh pemilik kereta Toyota Vios ini sebenarnya bekerja dengan pihak polis. Semua sudah jelas.
Namun kami kecewa sehingga kini. Walaupun pihak polis mengakui pemilik kereta Toyota Vios ini mempunyai kaitan dengan polis, tetapi sehingga hari ini polis gagal mengesan individu ini yang dikatakan sudah letak jawatan. Sesuatu yang menyedihkan.
Alasan beliau tak dapat dikesan dan gagal dihubungi menggambarkan ada sesuatu yang disembunyikan.
Bagi mewakili keluarga, ibu dan rakan-rakan Amri, saya ingin bertanya: Apa yang sebenar terjadi? Di mana beliau ditahan? Penjara rasmi atau tahanan rahsia? Masih hidup atau telah mati?
Siapa dalang utama kes ini?
Apakah mereka yang melakukan semua ini tidak rasa bersalah?
Apakah negara mahu mencatatkan Malaysia sebagai negara yang tidak selamat?
Keluarga merayu kerajaan PH sila ambil perhatian secara serius dan memberikan jawapan yang tuntas dalam isu ini. – 24 November, 2018.
* Mohammad Faisol Abd Rahman, jurucakap Perlis Hope
Komen