.jpg)
KABINET semalam memutuskan untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Bersatu menyokong penuh keputusan ini.
Bersatu menginsafi mempertahankan perkara asas Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan istimewa Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama persekutuan adalah matlamat perjuangan Bersatu yang termaktub di dalam perlembagaan parti.
Maka ahli dan kepimpinan Bersatu di pelbagai peringkat dengan tegas menolak sebarang usaha untuk meratifikasi ICERD. Bantahan ini diambil perhatian serius oleh pucuk pimpinan Bersatu.
Semasa berucap di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 28 September 2018, perdana menteri menyatakan dengan jelas bahawa ratifikasi baki instrumen PBB berkaitan perlindungan hak asasi manusia bukanlah sesuatu yang mudah kerana Malaysia adalah negara berbilang etnik, agama, budaya dan bahasa.
Perdana menteri juga menekankan semua pihak akan diberikan ruang dan masa bagi berbincang dan membuat keputusan secara bebas berasaskan demokrasi.
Justeru, keputusan Kabinet semalam adalah manifestasi betapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil serius pandangan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, dalam mempertimbangkan ratifikasi ICERD.
Antara tunjang Perlembagaan yang terkait dengan ICERD ialah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan tentang kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak yang sah bagi semua kaum.
Hak keistimewaan ini adalah satu komponen yang amat sensitif dan kritikal kerana ia berpaksikan kepada kontrak sosial yang dipersetujui lebih 60 tahun dahulu.
Keistimewaan yang termaktub di dalam Perkara 153 ini tidak mempunyai had tempoh tertentu.
Kepentingan menghormati kontrak sosial ini turut ditekankan di dalam kenyataan akhbar Jabatan Perdana Menteri bertarikh 23 November 2018 berkaitan dengan keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD.
Berdasarkan keputusan kerajaan PH untuk tidak meratifikasi ICERD dan terus menghormati keutuhan kontrak sosial yang dipersetujui lebih 60 tahun lalu, maka cadangan gabungan Umno dan PAS untuk mengadakan perhimpunan membantah ratifikasi ICERD adalah tidak lagi relevan dan bersifat retorik.
Oleh demikian, Umno dan PAS sewajibnya membatalkan perhimpunan tersebut bagi mengelakkan ia dijadikan medan untuk membangkatkan isu sensitif seterusnya menggugat keharmonian negara.
Di mana Umno dan PAS sebelum ini ketika rakyat berganding bahu menentang kebejatan dan kebobrokan kepimpinan kerajaan terdahulu, terutamanya dalam skandal penyelewangan paling dahsyat di dunia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?
Itu belum termasuk skandal penyelewengan lain yang hanya dapat diketahui rakyat selepas PH berjaya membentuk kerajaan.
Tindakan mereka membiarkan penyelewangan berleluasa semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional menyebabkan institusi-insitusi utama negara hampir ranap menyembah bumi.
Umno dan PAS perlu menyedari bahawa rakyat telah memberi mandat kepada PH untuk meletakkan kembali negara pada landasan yang kukuh dan seterusnya menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai Harimau Asia tetapi juga sebagai paksi kepada pertumbuhan ekonomi Asia.
Tentunya Umno dan PAS melihat bahawa tindakan menangguk di air keruh adalah mudah dan menguntungkan kelangsungan politik mereka, tetapi hakikatnya ianya boleh memberikan kesan buruk kepada kesejahteraan dan keharmonian tanah air Malaysia. – 24 November, 2018.
* Dr Radzi Jidin adalah ketua penerangan Bersatu.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen