PAS tetap berhimpun 8 Disember, mahu rai 'kejayaan'


PAS tetap mahu berhimpun pada 8 Disember ini dalam bantahan yang dianjurkan bersama Umno bagi meraikan kejayaan mereka menentang ICERD. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2018.

PAS tetap meneruskan rancangan untuk berhimpun di Dataran Merdeka pada 8 Disember walau kerajaan membatalkan hasrat untuk meratifikasi ICERD.

Laporan lidah parti itu, Harakahdaily menyebut, perhimpunan yang dirancang diadakan bersama Umno itu bukan lagi untuk menyuarakan bantahan tetapi untuk meraikan kejayaan.

“Rancangan tersebut akan bertukar format kepada himpunan kejayaan dan kesyukuran rakyat menolak ICERD yang akan diisi dengan solat hajat dan ucapan daripada para pimpinan,” lapor portal.

Laporan yang memetik kenyataan Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man itu juga menyebut, ia tidak dibatalkan kerana persiapan sudahpun diatur untuk perhimpunan berkenaan.

Harakahdaily melaporkan keputusan itu hari ini susulan pengumuman kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD.

Satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri menyebut, kerajaan sebaliknya akan mempertahankan kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu dikeluarkan hari ini ekoran bantahan meluas daripada pelbagai pihak termasuk parti PAS dan Umno yang merancang mengadakan perhimpunan besar pada 8 Disember.

Ucapan berapi-api pemimpin berkenaan, termasuk presiden Umno Zahid Hamid yang mengancam untuk menggembleng orang Melayu untuk “mengamuk” pada hari itu, kini disiasat polis.

Bantahan ke atas ICERD memuncak apabil Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy mengumumkan ia merupakan antara salah satu konvesyen hak asasi yang akan diratifikasi menjelang suku pertama tahun depan.

Kumpulan masyarakat sivil bagaimanapun mengalu-alukan usaha kerajaan meratifikasi konvensyen itu alasan ia penting bagi negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Malaysia merupakan salah satu daripada 14 negara yang masih belum mengesahkan perjanjian berkenaan. – 23 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen