Baru Bian dijangka kekal sebagai pengerusi PKR Sarawak


Desmond Davidson

Ahli Parlimen Selangau Baru Bian memperoleh sokongan 24 daripada 29 cabang di Sarawak pada pemilihan PKR baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2018.

AHLI Parlimen Selangau Baru Bian dijangka terus memikul tugas Pengerusi PKR Sarawak untuk tempoh tiga tahun lagi walaupun spekulasi mengatakan kedudukannya itu bakal digantikan Ahli Parlimen Julau Larry Sng.

Larry dikatakan memiliki sokongan presiden parti Anwar Ibrahim untuk menggantikan Baru.

Spekulasi itu dikuatkan lagi apabila Anwar menegur Baru kerana tidak muncul pada kongres parti hujung minggu lalu, sekali gus membayangkan hubungan keruh antara kedua-dua pemimpin itu.

“Ia tidak akan berlaku (Larry menjadi pengerusi). Perkara itu tidak akan berlaku,” kata pemimpin kanan Baru, See Chee How hari ini.

See yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang berkata pemilihan parti baru-baru ini menunjukkan Sng yang menyertai parti itu selepas pilihan raya umum pada Mei lalu tidak akan mendapat sokongan kuat walaupun dipertimbangkan untuk mengambil jawatan itu.

Pemilihan parti yang dicemari kontroversi penipuan, undi hilang, pengundi hantu dan beli undi, menunjukkan 24 daripada 29 cabang di Sarawak menyokong Baru dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Daripada lima cabang yang menyatakan sokongan kepada pencabar Azmin, Rafizi Ramli, tiga daripadanya memilih Sng sebagai ketua cabang iaitu di Julau, Sarikei dan Kapit.

See berkata Larry tidak boleh bergantung kepada sokongan Anwar untuk menjadi pengerusi parti negeri memandangkan jawatan itu diputuskan oleh 29 ketua cabang, bukannya presiden parti.

Presiden mempunyai kuasa untuk membuat keputusan jika di semenanjung tetapi Sabah dan Sarawak memiliki autonomi untuk memilih sendiri pengerusi parti negeri sejak 2014.

“Secara mudahnya, lebih 20 cabang menyokong Baru,” kata See sambil menambah majlis pimpinan parti akan mengadakan pertemuan pada bulan depan untuk memuktamadkan kedudukan pucuk kepimpinan. – 23 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen