PRU14 nanti soal ‘menang atau mati’, kata wanita Bersatu


Melati A. Jalil Yasmin Ramlan

Sayap wanita Bersatu giat menggerakkan kempen ke seluruh negara menambah ahli serta membuka dan menguatkan jentera parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2017.

PILIHAN raya umum (PRU) akan datang adalah misi “menang atau mati”, kata sayap wanita Bersatu, dan untuk memastikan Pakatan Harapan (PH) menang, Srikandi giat menggerakkan kempen ke seluruh negara menambah ahli serta membuka dan menguatkan jentera parti.

Ketua Srikandi Rina Mohd Harun berkata mahu tidak mahu PH mesti menang pilihan raya ini dan perkara itu tidak boleh dianggap remeh.

“Kita nak menang pilihan raya. Ini soal menang atau mati. Ini bukan seperti kata, ‘tak apa tak menang kali ini, kita boleh tunggu PRU15’,” katanya dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight.

“Kita sasar nak dapatkan 50,000 petugas jentera wanita seluruh negara. Ini bukan jumlah ahli. Ini jumlah petugas jentera wanita.”

Rina berkata dalam tempoh tiga bulan lalu, pihaknya berjaya menubuhkan 132 bahagian sayap wanita Bersatu daripada 165 kawasan Parlimen di Semenanjung.

Katanya, itu satu kejayaan yang menggembirakan, tercapai dalam masa tiga bulan dan dalam tempoh yang sama juga Srikandi menambah sehingga 35% ahli baharu.

“Suara kami mungkin tidak lantang tetapi kami ini senyap-senyap kami ada kekuatan tersendiri. Biar pemimpin atasan bercakap. Kami jalankan gerak kerja.”

Ketua Srikandi Rina Mohd Harun berkata PH mesti menang pilihan raya ini dan perkara itu tidak boleh dianggap remeh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Melati A Jalil, 18 Ogos, 2017.

Rina, 44, mengaku kerja menambah ahli parti dan menguatkan jentera parti itu sudah biasa beliau lakukan semasa jadi ketua Puteri Bahagian Sepang, sehingga bahagian itu diperakukan mempunyai ahli kedua teramai di Selangor dan kesepuluh teramai di Malaysia pada 2002.

Bekas exco Puteri Umno itu masih bersekolah rendah ketika Dr Mahathir Mohamad, tokoh yang beliau akui idolanya, jadi perdana menteri.

Apabila Umno menubuhkan sayap Puteri pada 2001, semasa Dr Mahathir masih presiden parti, Rina antara ribuan wanita Melayu muda yang ikut menyertai pergerakan itu – kerana Dr Mahathir.

Apabila Dr Mahathir meninggalkan Umno dan menubuhkan Bersatu, Rina ikut sama masuk Bersatu.

“Selain faktor Tun M, saya masuk (Bersatu) lebih atas dasar pemimpin Umno sekarang sudah tidak lagi dengar rintihan rakyat,” katanya.

Berikut petikan wawancara berkenaan:

TMI: Siapakah mereka yang menyertai Srikandi? Kenapa?

Rina: 70% daripada mereka terdiri daripada yang sudah berkerjaya, paling ramai umur 18 hingga 45 tahun. Mereka ini hidup membesar pada zaman Tun M dan ramai juga dalam kalangan bekas ahli Puteri Umno dan Wanita Umno.

Mereka sedar Umno dulu bukan Umno sekarang. Mereka sedar kesilapan, jadi mereka ambil keputusan untuk bersama (Bersatu).

Dalam tempoh tiga hingga empat bulan, untuk Srikandi, penambahan ahli baharu adalah 30% hingga 35%. Kita juga pernah buat program terjah dari rumah ke rumah untuk dapatkan keahlian dalam satu program yang diketuai oleh Srikandi dekat Klang, Selangor. Kita dapat 525 ahli baru dalam tempoh tiga jam.

TMI: Apakah antara program Srikandi untuk menarik lebih ramai ahli?

Rina: Program pertama yang kami anjurkan adalah pada Mei, pada bulan Ramadan iaitu “Sentuhan Kasih Ramadhan”.

Selain menggunakan media sosial, kita berinteraksi dengan berjumpa mereka dari rumah ke rumah, terangkan kepada mereka apa yang berlaku dalam negara.

Tun M cakap nak turunkan Datuk Seri Najib, tapi kenapa nak turunkan kerajaan? Jadi kita jelaskan. Kita terangkan mengenai kos sara hidup, pengangguran yang tinggi, apakah jalan penyelesaian kepada masalah ini.

Kita juga buka kaunter pendaftaran ahli di pasar malam di kawasan masing-masing.

TMI: Apakah cabaran mendapatkan wanita untuk mengundi?

Rina: Kita mesti ubah mentaliti mereka. Pertama, jangan takut dengan omokan dan ugutan. Kedua, kena tukar mentaliti bahawa kita perlukan pemimpin yang lebih baik.

Pembangkang terpaksa mengetepikan semua peristiwa lalu untuk bekerja dengan Dr Mahathir Mohamad dan bekas ahli politik Umno lain yang kini memimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia. – Gambar fail The Insight Malaysia, 4 Jun, 2017.

Kalau kita sayangkan negara, itu tanggungjawab kita sekarang. Maknanya ia boleh direalisasikan mengikut demokrasi melalui sistem pilihan raya.

Kita nak beritahu rakyat, kerajaan tetap ada walaupun PH menang dan mereka perlu bezakan antara parti politik dan kerajaan.

TMI: Tetapi ada orang takut kepada perubahan. Bagaimanakah hendak atasi rasa takut itu?

Rina: Mereka (Umno) kata negara kita akan huru-hara kalau Barisan Nasional tak memerintah. Tapi kita tak perlu takut. Yang kita takut mereka (Umno) yang tak boleh terima kekalahan, yang sengaja nanti buat huru-hara. Tapi kita lihat di Selangor, rakyat Selangor gembira dengan (pentadbiran) Azmin Ali.

Kalau nak dibandingkan dengan negeri lain, sama sajalah, lebih baik lagi ada. Sama juga di Pulau Pinang.

Tapi itu doktrin yang dibuat kepada orang Umno, (kepada) Melayu terutamanya. Dia takut-takutkan kita.

Saya selalu cakap dengan Srikandi “kamu jangan risau’”. Kita yakin berada di jalan yang benar. Yang kedua, kita kena anggap perjuangan kita ini macam menuntut balik kemerdekaan negara.

TMI: Wajarkah Srikandi minta calon wanita lebih ramai dalam pilihan raya nanti?

Rina: Apabila kita tinggalkan Umno, kita nak PH menang. Tun M sangat bijaksana. Kita tiada kerusi dan apa yang paling penting ialah kita menang dulu. Tak guna demand kalau tak boleh menang.

Saya yakin pucuk pimpinan akan beri peluang seadilnya kepada Srikandi. Objektif kita adalah untuk menang pilihan raya, barulah strategi yang disusun dapat dilaksanakan. – 18 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen