MAHKAMAH Rayuan Singapura semalam menolak rayuan dikemukakan anak perdana menteri pertama Lee Kuan Yew iaitu Wei Ling dan Hsien Yang, yang memohon mendapatkan akses kepada rakaman dan transkrip wawancara dengan mendiang ayah mereka pada awal 1980-an.
Channel News Asia melaporkan panel hakim terdiri daripada Hakim Besar Sundaresh Menon dan Hakim Rayuan Chao Hick Tin dan Andrew Phang dalam penghakiman berkata pewaris Kuan Yew tidak berhak ke atas salinan transkrip itu.
Wawancara itu diadakan pada antara 8 Julai, 1981 hingga 5 Julai, 1982 ketika Kuan Yew masih dalam jawatan. Wawancara itu dirakam dan dijadikan transkrip oleh Unit Sejarah Lisan pemerintah, lapor Beritamediacorp.
Dilaporkan Kuan Yew menandatangani perjanjian berhubung hak penggunaan rakaman pita dan transkrip.
Selepas kematiannya pada Mac 2015, Wei Ling dan Hsien Yang memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan hak ke atas transkrip berkenaan.
Pada September 2016, Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka dengan menyatakan transkrip itu di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), disebabkan isu sensitifnya dalam bidang politik, lapor Beritamediacorp.
Mereka kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu, sambil merujuk Kuan Yew dibenarkan untuk menyimpan salinan peribadi transkrip itu selepas melepaskan jawatan.
Dalam permohonan itu, mereka berkata transkrip itu melibatkan kenangan zaman kanak-kanak, pendidikan dan kehidupan keluarga, yang mungkin tidak dilindungi oleh OSA.
Semalam, panel hakim dalam keputusannya berkata mereka “cukup berpuas hati” hak peribadi Kuan Yew untuk menggunakan transkrip tersebut tidak diberikan kepada pewarisnya.
Pada Jun, persengketaan dua beradik itu dengan abang mereka yang juga Perdana Menteri Singapura Hsien Loong mula terdedah kepada umum.
Perbalahan berpunca daripada wasiat rumah kediaman Kuan Yew dan keluarga di sebuah banglo di 38 Oxley Road di mana Kuan Yew mahu rumah itu dirobohkan selepas meninggal dunia kerana tidak mahu rumah itu dijadikan monumen untuknya.
Hsien Yang dan Wei Ling bersedia melaksanakan wasiat itu, tetapi Hsien Loong tidak setuju ia dirobohkan dan mahu dijadikan sejarah untuk memperingati jasa Kuan Yew dan legasinya. – 18 Ogos, 2017.
Komen