Kerajaan Pakatan tak tinggalkan Melayu dan Islam, kata Anwar


Mohd Farhan Darwis

Presiden PKR Anwar Ibrahim menandatangani plak rasmi Muzium Etnografi Melayu ketika menyampaikan syarahan Za'ba 2018 di Universiti Malaya hari ini. Beliau merasmikannya pada hari terakhir sebagai timbalan perdana menteri pada 1998 tetapi tidak sempat menandatanganinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 November, 2018.

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) tidak akan meninggalkan landasan Melayu dan Islam walaupun terdapat serangan daripada golongan super liberal terhadapnya, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau juga tidak akan berganjak daripada kecintaannya terhadap prinsip Islam.

“Negara ini tidak boleh lari dari landasan kemelayuan dan Islam. Ada orang menganggap Malaysia Baharu ini akan meninggalkan Melayu dan Islam, dan saya juga diserang oleh orang super liberal dan dianggap Anwar berbahaya.

“Saya mahu keadilan kepada semua rakyat tetapi tidak boleh melunturkan kecintaan saya kepada kaum dan keyakinan saya kepada prinsip dalam Islam,” katanya.

“Dan saya percaya landasan ini tidak akan ditolak oleh kerajaan yang ada hari ini,” kata Anwar lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan Za’ba 2018 di Universiti Malaya (UM), hari ini bertajuk Melayu Islam dalam era Malaysia Baharu.

Anwar turut mengakui, sebagai sebuah kerajaan baharu, terdapat menterinya yang masih baru dan belum cekap mentadbir.

“Lakaran kata mungkin kadang-kadang mengelirukan kerana kerajaan baru enam bulan, menteri juga baru, jadi kenyataan tidak semuanya cekap dan matang,” kata Anwar.

Tangguh ICERD

Dalam ucapannya, Anwar menggunakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebagai contoh, dan mengulangi pendiriannya, ia perlu ditangguhkan.

“Saya yakin daripada segi landasan misalnya ICERD (Perdana Menteri) Dr Mahathir (Mohamd) sebut dengan tegas tidak mungkin berlaku sekarang saya menegaskan bahawa kita faham keresahan sebahagian masyarakat kita.

“Maka tidak wajar dibahaskan oleh satu kelompok dan dibuka kepada perbincangan tapi tidak mungkin dilaksanakan sekarang, kita harus teliti hanya jika ia tidak menjejaskan keistimewaan Islam dan Melayu barulah boleh dipertimbangkan,” katanya.

Anwar berkata walaupun dirinya anti diskriminasi kaum, kefahaman terhadap Islam sebagai agama persekutuan harus diterapkan kepada umat agar ia tidak hanya jadi slogan.

“Saya anti diskriminasi dan saya tidak setuju dengan fahaman perkauman. Saya mahu rakyat Malaysia, Melayu, Cina India, Sabah, dan Sarawak merasakan mereka ini mempunyai hak untuk bangunkan negara.

“Tapi saya juga menekankan Islam sebagai agama Persekutuan yang harus dihayati dan harus dikembangkan dengan kefahaman yang lebih, bukan sebagai slogan,” katanya. – 23 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen