PWTC cuba pikat program kerajaan selepas Umno kalah


SM Amin

Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjadi lokasi utama bagi Perhimpunan Agung Umno setiap tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2018

PUSAT Dagangan Dunia Putra (PWTC) milik Umno sedang mendekati Putrajaya dan pelbagai pihak lain untuk menganjurkan program di bangunan itu bagi mengatasi kedudukan kewangannya yang kritikal, kata sumber pengurusan aset parti itu.

Aliran tunai PWTC kini kritikal selepas Umno kalah Pilihan Raya Umum ke-14 dan parti Melayu itu tidak lagi jadi kerajaan, katanya.

“Selepas Umno kalah, tidak banyak pihak terutamanya dari kementerian dan agensi kerajaan yang datang buat program di PWTC,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

“Bukan hendak kata tidak ada langsung tetapi dengan jumlah program yang ada ketika ini, memang tidak cukup. Kita perlu lebih banyak orang buat program di PWTC,” tambahnya.

Menurut sumber, Putrade Property Management Sdn Bhd, syarikat milik Umno yang mengurus dan menyelenggara PWTC, meminta bantuan Gerbang Perdana Sdn Bhd untuk menyusun semula aliran tunainya.

Antara mandatnya ialah mencari dan mendekati syarikat pengurusan acara, termasuk kementerian dan agensi kerajaan persekutuan, untuk menganjurkan program di pusat pameran dan konvensyen itu.

“Kalau berterusan macam ini (tiada pelanggan), susah kita hendak susun balik aliran tunai dalam keadaan banyak hutang yang orang tidak bayar,” tambahnya.

Sumber memberitahu, PWTC mempunyai hutang tertunggak yang terkumpul dengan banyak pihak – termasuk Umno.

“PWTC tidak mengutip hutang daripada banyak pihak sebelum ini termasuk dari Umno sendiri kerana tidak jangka Umno akan tewas dalam PRU14,” katanya, yang maklum tentang operasi pusat dagangan itu.

Bangunan PWTC turut menempatkan Menara Dato Onn yang digunakan sebahagiannya sebagai ibu pejabat Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2018

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memaklumkan Umno masih berhutang dengan PWTC sebanyak RM12.7 juta, yang sepatutnya dikutip oleh pengurusan PWTC daripada pelbagai program anjuran Umno di bangunan tersebut.

“Itu hanya Umno sahaja. Kalau jumlah semua pihak yang berhutang dengan PWTC, angkanya mencecah puluhan juta ringgit,” tambah sumber.

Bangunan PWTC turut menempatkan Menara Dato Onn yang digunakan sebahagiannya sebagai ibu pejabat Umno.

Gerbang Perdana pernah dikaitkan dengan pembinaan jambatan bengkok ke Singapura lebih 10 tahun lalu, yang kemudian dibatalkan oleh bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Pengarah urusan Gerbang Perdana, Yahya Abdul Jalil adalah antara ahli perniagaan terkenal dan diketahui pernah memegang jawatan di peringkat bahagian Umno di Johor.

Selepas pembatalan projek jambatan baru ke Singapura pada 2006, Gerbang Perdana menuntut pampasan RM360 juta dari Putrajaya. Ia hanya diberikan ganti rugi sebanyak RM247 juta, atas kerja-kerja yang sudah dijalankan sebelum pembatalannya.

Selain PWTC, Umno juga sekarang dalam proses menstruktur semula syarikat-syarikat milik parti bagi mengatasi masalah kewangan yang semakin kritikal selepas akaun banknya dibekukan pihak berkuasa.

Laporan sebelum ini menyebut Umno memerlukan hampir RM50 juta setahun untuk operasi di seluruh negara tetapi sumbangan daripada syarikat-syarikat milik parti, tidak sampai separuh daripada jumlah itu.

Kekalahan Umno dalam PRU14 juga merencatkan rancangan parti itu membina Pusat Dagangan Dunia Putra KL Putra (KL PWTC) setinggi 70 tinggi di seberang tapak PWTC sekarang yang akan jadi ibu pejabat barunya.

Akhir September lalu, Zahid mengumumkan Umno menangguhkan projek menara baru itu kerana “masalah ekonomi”.

Umno juga memfailkan saman di mahkamah menuntut wang berjumlah RM116.7 juta yang disita Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada bekas presidennya Najib Razak.– 23 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen