SEORANG pemimpin Umno Tapah menafikan membuat ugutan dan menyekat perjalanan seorang setiausaha politik menteri, P Muniandy seperti ditunjuk dalam satu video yang tular di media sosial.
Ahli jawatankuasa bahagian itu Syed Afzarizal Syed Salim berkata beliau memberi kerjasama kepada polis yang meminta beliau tidak mengapa-apakan Muniandy semasa kejadian pada Isnin itu.
“Saya menerima juga arahan daripada polis (supaya) jangan jentik, bagi surat saja,” katanya yang menambah polis menyatakan akan menahannya jika mengasari pegawai itu.
“Saya bagi jaminan tidak akan jentik, hanya bagi surat saja.”
Dakwanya, beliau juga tidak menghalang kereta dinaiki setiausaha politik kepada P Waytha Moorthy itu seperti ditunjukkan dalam video semasa kejadian.
“Saya bukan halang kereta. Saya tunggu di depan pagar untuk menyerahkan nota bantahan. Dia acah-acah hendak jalan terus, (jadi saya tetap) berdiri depan pagar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Nota berkenaan adalah bantahan kepada Waytha Moorthy yang mencadangkan agar kerajaan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Dalam video sepanjang 5 minit itu, Syed dan beberapa individu lain dilihat berdiri di hadapan pagar meminta supaya Muniandy tidak takut dan turun daripada kereta untuk beliau menyerahkan nota itu.
Syed juga dilihat meminta Muniandy menyampaikan amaran kepada Waytha Moorthy supaya tidak mencabul hak orang Melayu dan agama Islam di negara ini.

Syed seterusnya berkata: “Cukup sejarah hitam 13 Mei 1969. Jangan ada berlaku lagi perkara yang bukan-bukan.”
Kejadian itu didakwa berlaku di pintu hadapan SK Datuk Kelana di Tapah selepas pegawai menteri tersebut menghadiri sebuah program di situ.
Susulan kejadian itu, Muniandy membuat laporan polis di balai polis Jalan Travers pada malam tadi ke atas dakwaan diancam oleh Syed.
Mengulas mengenai laporan polis yang dibuat oleh Muniandy, Syed menegaskan beliau akan memberi kerjasama penuh kepada polis dan turut membuat laporan pada hari kejadian.
“Saya pun telah buat laporan polis pada hari kejadian yang mengatakan bahawa saya tidak mengugut atau tidak buat apa-apa.
“Saya pun ada bukti yang saya simpan. (Terdapat) video yang diedit oleh pihak tidak bertanggungjawab, video penuh saya ada,” katanya. – 23 November, 2018.
Komen