Najib cuba beralih kepada Jho Low


Desmond Davidson

Ada yang percaya bekas perdana menteri Najib Razak dalam keadaan terdesak dan cuba untuk meletakkan kesalahan kepada orang lain.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2018

BUAT pertama kalinya sejak skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terbongkar, Najib Razak hari ini cuba menyalahkan Low Taek Jho dengan mengisytiharkan bahawa ahli perniagaan dari Pulau Pinang yang dikehendaki itu mungkin menipu kerajaan dan menjadi dalang pengubahan dana syarikat pelaburan negara.

Kenyataan Najib pada sesi wawancara dengan Sinar Harian membuatkan ramai yang mengatakan bekas perdana menteri itu akhirnya membuang Jho Low.

Tetapi mereka masih ragu. Mereka merasakan bahawa selepas berdepan dengan banyak pertuduhan berkaitan skandal 1MDB, Najib kini terdesak dan cuba mencari kambing hitam.

“Akhirnya lepas tangan. Mungkin inilah masanya Jho Low perlu mula buka mulut,” kata salah seorang pembaca The Malaysian Insight di ruangan komen.

Pembaca turut mempersoalkan mengapa Najib mengambil masa terlau lama untuk menuduh Jho Low menipu negara, dan ada yang mempersoalkan mengapa bekas perdana menteri itu tidak membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan berkenaan.

Ada juga yang mempersoalkan bagaimana Najib, yang pernah menjadi perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi ahli lembaga pengarah 1MDB dengan mudah ditipu Jho Low.

Mereka menyatakan sebelum Pilihan Raya Umum ke 14, Najib turut menyatakan pandangan positif terhadap Jho Low.

Kenyataan umum pertama Najib mengenai Jho Low adalah pada 2015, ketika pembangkang mula meningkatkan kempen untuk mendedahkan skandal 1MDB dan menyasarkan kepada peranan Jho Low.

Najib tidak lagi menyebut nama Jho Low   –  sehinggalah hari ini.

Apa yang Najib kata dulu:

“Encik Low Thaek Jho tidak pernah bekerja di 1MDB dan semua keputusan dan urus niaga 1MDB dibuat oleh pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB,”

(Jawapan bertulis Najib kepada Ahli Parlimen Wangsa Maju PKR, Dr Tan Kee Kwong di Parlimen pada 2015)

Apa yang Najib kata sekarang:

“Saya tidak berikan arahan kepadanya tetapi beliau secara sukarela melakukan beberapa perkara, yang beliau fikir mungkin akan membantu 1MDB.”  
(The Guardian, 21 Jun, 2018).

“Low Taek Jho mempunyai ‘hubungan strategik yang akan beri faedah kepada Malaysia’”
(The Coverage, 29 Jun, 2018).

“Beliau bagaimanapun telah mengembangkan hubungan ini yang mungkin bernilai kepada Malaysia. Itu adalah dalam konteks. Apa yang beliau lakukan dengan mereka dan lain-lain, itu adalah di luar pengetahuan saya.” 
(The Edge Financial Daily, 29 Jun, 2018).

“... jangan berhenti setakat Jho Low. Cari juga mereka yang lain terlibat kerana terdapat tokoh antarabangsa lain yang mungkin terlibat. Mereka juga perlu disiasat. Kami mahu tahu ke mana wang itu mengalir. Dan siapa sebenarnya mendapat faedah dari isu 1MDB. Saya mahu tahu juga.”

(Wawancara Al Jazeera, 27 Oktober, 2018) – 22 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen