Dari buli ke buli 


SAYA menyambut baik seruan Timbalan Menteri Pendidikan saudari Teo Nie Ching supaya berhenti menyebarkan gambar ahli keluarga dan anak Edi Rejang (lelaki yang berkelakuan kasar terhadap seorang promoter bir di pasar raya baru-baru ini) di internet. Saya lega apabila akhirnya saudari Teo Nie Ching melahirkan kebimbangan tentang isu ini dan cuba menamatkan kitaran pembulian ini.

Rasisme dan pembulian merupakan dua isu yang sangat serius. Namun, apabila kita membalas perbuatan Edi Rejang dengan meraikan pembulian terhadap dia dan keluarganya, adakah ini betul-betul satu tindakan yang bersesuaian?

Jangan silap faham, saya mengkritik tindakan Edi Rejang.

Rasisme merupakan racun yang membawa kemusnahan kepada negara. Namun, sekiranya kita benar-benar mahu membina sebuah negara yang ke depan dan bertamadun, adakah trend membuli Edi Rejang sesuatu yang wajar kita sambut?

Sejujurnya, saya tidak memahami kelakuan Edi Rejang yang sebegitu kasar terhadap gadis promoter bir tersebut. Barangkali dia benar-benar seorang yang rasis. Malah, kemungkinan tinggi tindakan memohon maaf daripadanya hanyalah akibat tekanan netizen serta masyarakat, dan bukannya jujur dari hati. Namun, apakah kesudahan yang kita ingin kecapi dalam isu ini? Saya percaya, apa yang penting bukanlah kepuasan dalam membalas dendam. Apa yang kita mahu adalah supaya isu ini dijadikan pengajaran dan Edi Rejang melahirkan penyesalan yang ikhlas terhadap kesalahannya.

Akan tetapi, adakah dengan cacian, makian serta bulian terhadap Edi Rejang benar-benar dapat menjadikannya bertaubat? Ataupun akan lebih berkesan sekiranya kita memilih untuk menasihatinya dan memaafkannya?

Segelintir daripada kami memilih untuk membalas perbuatan Edi Rejang dengan menggunakan cara yang sama, iaitu membuli Edi Rejang. Oleh itu, gambar dan maklumat mengenai keluarganya terpampang di internet, terutama anaknya yang bersekolah Cina. Bukan itu sahaja, ada di kalangan kami yang turut menyerang dan menghina syarikat yang mengupah Edi Rejang.

Memang benar, Edi Rejang sepatutnya diberi pengajaran dan tindakan tidak bertanggungjawabnya itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Namun seharusnya, kita membenarkan pihak-pihak tertentu untuk mengambil tindakan dan belajar untuk memberi kepercayaan kepada sistem kehakiman kita di bawah pimpinan Kerajaan Pakatan Harapan.

Tindakan mendedahkan gambar dan informasi ahli keluarganya bukanlah sesuatu yang sesuai. Setelah identiti anaknya didedahkan, besar kemungkinan budak perempuan itu akan dibuli dan diboikot dalam sekolah buat satu jangka masa panjang. Kitaran tidak sihat ini hanya akan memupuk kebencian dalam hati anaknya. Sungguh ironi, namun akhirnya, kebencian ini ditanam oleh tangan kita sendiri (yang beria-ria mengatakan kita menolak rasisme dan pembulian), dengan cara yang sama Edi Rejang gunakan ke atas gadis promoter bir. Agak naif sekiranya kita masih tidak sedar bahawa sifat benci hanyalah akan mewariskan benci.

Tujuan memaafkan Edi Rejang dan tidak memanjangkan isu ini bukanlah untuk menguntungkan Edi Rejang. Sebaliknya, perbuatan ini adalah supaya kita dapat meraikan sebuah masyarakat yang pengasih dan penuh dengan sifat empati. Realitinya, kita tidak mungkin menjadi sebuah negara yang bertamadun tinggi sekiranya kita tidak mempunyai budaya bertamadun tinggi. 

Budaya ini dikatakan budaya masyarakat bertoleransi, berhemah tinggi, bertolak ansur dan ini wajib dimulakan oleh diri kita sendiri. Jadi sekiranya kita benar-benar mahu menghentikan rasisme dan pembulian di Malaysia, kita tidak patut melawan isu ini dengan menggunakan helah yang sama digunakan oleh Edi Rejang.

Saya sebenarnya amat mengagumi gadis promoter bir tersebut. Sekiranya seorang gadis promoter bir yang baru berumur 17 tahun cukup matang menangani situasi ini dan memilih untuk tidak lagi mempersoalkan isu ini, bukankah kita seharusnya menjadi contoh yang lebih baik untuk gadis tersebut?

Jadi adakah kita benar-benar mahu meneruskan kitaran Dari-Buli-Ke-Buli?

Dengan semangat Malaysia baru ini, marilah kita benar-benar mendukung negara dengan mengubah cara kita menangani kes rasisme dan kes pembulian di tanah air ini. – 22 November, 2018


*Jamaliah Jamaluddin merupakan Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen