Tiada kerja, pemotong rumput berdemo di Temerloh


SM Amin

Ratusan pekerja kontrak pembersihan jalan berhimpun di Temerloh bagi menuntut agar kerajaan Pakatan Harapan menyambung semula kontrak majikan mereka yang didakwa dihentikan. – Gambar The Malaysian Insight, 22 November, 2018.

RATUSAN pekerja kontrak pembersihan jalan berhimpun di Temerloh bagi menuntut agar kerajaan Pakatan Harapan menyambung semula kontrak majikan mereka yang didakwa dihentikan.

Jurucakap kumpulan tersebut, Zawawi Muhamad mendakwa pemberhentian kontrak berkenaan menyebabkan pemotong rumput terdiri daripada orang kampung diberhentikan kerja tanpa notis.

“Penduduk kampung bersuara kerana dihentikan kerja daripada majikan mereka tanpa notis.

“Sumber pendapatan sudah tidak ada bila syarikat yang mereka kerja tidak lagi disambung kontrak pembersihan,” kata Zawawi ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Katanya, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk meneruskan semula kerja pemotongan rumput di laluan jalan persekutuan di Pahang untuk satu tempoh munasabah.

Beliau berkata pekerja dalam kesusahan, lebih-lebih lagi apabila mereka terpaksa menyediakan perbelanjaan untuk anak yang mula bersekolah tahun depan.

“Selama ini mereka terima gaji hari. Kalau boleh berilah kerja untuk bulan 11 dan 12 ini sekurang-kurangnya sebab anak hendak masuk sekolah tahun depan,” kata Zawawi.

Katanya, kumpulan tersebut akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat. – 22 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen