Pengasingan kuasa peguam negara tangguh, kata PM


SM Amin

Dr Mahathir Mohamad berkata kajian terperinci terhadap cadangan pemisahan antara fungsi pendakwaraya dan peguam negara perlu diteliti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 November, 2018.

PUTRAJAYA menangguhkan cadangan mengasingkan tugas peguam negara daripada pendakwaan jenayah kerana ia melibatkan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen, kata Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, perkara itu akan terus diteliti kerana ia adalah komitmen kerajaan Pakatan Harapan, yang merupakan sebahagian daripada manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kajian terperinci terhadap cadangan pemisahan antara fungsi pendakwabraya dan peguam negara perlu diteliti. Ini merupakan usaha kita.

“Kita tidak mempunyai jumlah yang cukup 2/3 dalam dewan untuk menentukan pindaan ini dapat diluluskan. Sebab itu perkara ini ditangguhkan,” katanya di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) kali yang kelima. 

Beberapa pertubuhan termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) sebelum ini mendesak kuasa pendakwa raya dicabut daripada Peguam Negara bagi mengelak rakyat curiga dengan peranan beliau dalam sesuatu keputusan pendakwaan.

Ia bagi mengelakkan timbul konflik kepentingan antara peranan peguam negara sebagai penasihat kerajaan dan pendakwa raya.

Soal pengasingan kuasa ini hangat diperkatakan selepas Pejabat Peguam Negara menggugurkan pendakwaan terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung tuduhan rasuah dalam pembelian banglo di bawah harga pasaran.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin dalam ucapannya di Parlimen sebelum ini berkata kajian menyeluruh sedang dijalankan untuk memisahkan dua peranan agensi perundangan kerajaan itu.

Ia melibatkan pindaan ke atas Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan selain menyemak semula undang-undang berkaitan kuasa pendakwa raya dan peguam negara yang diperuntukkan menurut Kanun Tatacara Jenayah serta Akta Tafsiran 1948 dan 1967, katanya.

Sementara itu menyentuh isu lain, Dr Mahathir berkata kerajaan masih mengkaji penglibatan penjawat awam dengan parti politik kerana ada kesamaran dalam dasar kerajaan.

Beliau menarik perhatian penglibatan penjawat awam dengan parti politik akan menjejaskan pelbagai perkara terutamanya keputusan yang melibatkan dasar kerajaan.

“Ini menjejaskan ketelusan pentadbiran negara. Pegawai ini sudah tentu terikat dengan parti berkenaan, dan mereka akan mengambil tindakan yang berat sebelah berkenaan tentang apa saja,” katanya.

Bagaimanapun Dr Mahathir mengakui adalah tidak munasabah penjawat awam yang bekerja dengan menteri tidak terlibat dengan politik kerana mereka berhubungan dengan orang awam termasuk pemimpin politik.

“Sudah tentu pegawai yang dilantik untuk menteri berkenaan mereka tentulah terlibat dengan politik kerana mereka menolong menteri mereka, membuat perhubungan dengan orang ramai dan sebagainya. Mereka tetap terlibat dengan politik.

“Oleh kerana perkara ini belum dapat diperhalusi, sambil semasa kita akan kaji semula tentang penglibatan pegawai kerajaan dalam politik,” katanya. – 21 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen