-2.jpg)
KONVENYSEN Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) menjadi isu yang sangat hebat diperdebatkan sejak beberapa minggu yang lalu.
Ia menimbulkan pelbagai kontroversi serta percanggahan pendapat dalam kalangan pelbagai pihak terutamanya antara NGO-NGO yang berkaitan serta ahli-ahli politik dalam kalangan Pakatan Harapan dan juga Barisan Nasional.
Kebanyakan pendapat disuarakan oleh sama ada ahli politik atau pihak NGO sehinggakan sesetengah rakyat yang walaupun tidak memahami langsung tentang isu kandungan ICERD terpaksa menyokong atau menentang secara membuta tuli.
Dalam isu ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya mengambil keputusan yang terburu-buru yang populis untuk meratifikasi ICERD tanpa mendapat mandat atau persetujuan daripada rakyat.
Selain itu, perbincangan, persetujuan atau penentangan di peringkat atasan sahaja tidak mencukupi kerana kebanyakan rakyat Malaysia masih lagi tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang isi kandung ICERD serta impaknya terhadap diri mereka.
Bukan sahaja Melayu, malah bukan Melayu juga yang melaungkan sokongan terhadap ratifikasi ICERD sebenarnya tidak memahami intipati konvesyen ini serta impaknya kepada seluruh rakyat Malaysia.
Tambahan pula, pihak pembangkang serta sesetengah parti dalam PH telah menggunakan isu ICERD ini sebagai medium untuk membangkitkan semangat perkauman yang memecahbelahkan rakyat.
Walaupun isu ICERD ini merupakan satu perkara penting, tetapi terdapat banyak lagi isu yang seharusnya diberikan perhatian oleh kerajaan.
Antaranya isu pembayaran semula PTPTN yang seharusnya dikaji semula, kebajikan Orang Asli, kos sara hidup rakyat Malaysia secara keseluruhan, pelaksanaan cukai SST yang masih lagi tidak efisien dan kebajikan golongan wanita dan kanak-kanak yang memerlukan lebih perhatian.
Jadi, adalah lebih baik ahli-ahli politik kerajaan dan pembangkang memberikan perhatian kepada isu-isu di atas dahulu dan tidak membuang masa untuk berdebat isu yang sememangnya memerlukan kajian serta proses jangka panjang.
Dalam isu ICERD, perkara pertama yang harus dibuat oleh kerajaan ialah memberikan pendedahan serta pendidikan kepada rakyat Malaysia tentang konvensyen itu. Rakyat harus mengetahui dengan lebih mendalam asal-usul dan sejarah ICERD, negara-negara yang meratifikasi ICERD, kandungan konvensyen, percanggahannya dengan Perlembangaan Persekutuan sekiranya ada dan justifikasi oleh pihak yang menerima dan menolak proses ratifikasinya.
Rakyat Malaysia perlu memahami konvensyen ini dengan jelas sebelum apa-apa bentuk keputusan diambil. Ratifikasi ICERD tidak boleh dilakukan sekiranya rakyat Malaysia tidak diberikan pendedahan serta pendidikan yang secukupnya tentang isu ini.
Kajian mendalam juga harus dilakukan tentang impak dan kesan kepada semua rakyat Malaysia sekiranya ICERD ditandatangani.
Untuk itu, sebuah jawatankuasa perunding atau penasihat ICERD perlu ditubuhkan untuk menjalankan kajian ini. Jawatankuasa ini perlu dianggotai oleh pakar perundangan, ahli-ahli politik kerajaan dan pembangkang, NGO, wakil mahasiswa dan wakil-wakil lain yang berkaitan.
Selain jawatankuasa, dalam meratifikasi konvensyen ini forum, diskusi serta debat umum perlu dijalankan oleh kedua-dua pihak kerajaan, pembangkang serta NGO dan juga badan-badan berkecuali untuk memberikan kefahaman serta penjelasan kepada rakyat berdasarkan fakta yang kukuh tentang ICERD.
Diskusi yang bersifat ilmiah seharusnya diberikan perhatian, bukannya diskusi berdasarkan fitnah dan sentimen perkauman.
Oleh itu, ratifikasi ICCERD ini tidak sepatutnya disegerakan atau dibuat secara terburu-buru tanpa memberi pendedahan dan pendidikan kepada semua rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum berhak mengetahui dengan lebih lanjut tentang impak dan kesan konvensyen ini kepada mereka.
Perbincangan tentang isu tidak sepatutnya berlegar dalam kalangan golongan pemimpin tetapi yang terpimpin juga wajar diberikan pendedahan berdasarkan fakta dan analisa yang kukuh.
Keputusan berkaitan dengan ICERD ini hanya sepatutnya dilakukan selepas proses pendedahan dan pendidikan serta kajian secara mendalam serta perlu melibatkan semua lapisan masyarakat.
Natalie Baird dalam tulisannya bertajuk “To Ratify Or Not To Ratify? An Assessment of The Case for Ratification of International Human Rights Treaties in the Pacific” memberikan dua cadangan umum kepada negara-negara yang ingin meratifikasikan sesebuah undang-undang antarabangsa.
Pertama, Natalie berpendapat, sekiranya sesebuah negara menjangkakan atau merasakan bahawa undang-undang di peringkat tempatan akan menghalangnya daripada mematuhi keperluan perjanjian, tetapi mereka tetap ingin meratifikasikan perjanjian itu mungkin kerana undang-undang tempatan tersebut mematuhi kebanyakan klausa yang ditetapkan atau negara tersebut bercadang untuk meminda undang-undang tempatannya pada suatu hari nanti, maka perkara betul yang harus dilakukan adalah untuk meratifikasikan perjanjian itu dengan klausa khas.
Cadangan kedua Natalie ialah sesebuah negara sepatutnya meratifikasikan sebuah perjanjian sehingga undang-undang tempatannya mematuhi keperluan undang-undang antarabangsa.
Keputusan Malaysia dalam meratifikasi ICERD perlu mengambil kira kedua-dua cadangan di atas serta kajian mendalam daripada pelbagai pihak. – 21 November, 2018.
* Aaron Denison adalah penolong penyelidik Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen