Pemenang anugerah Nobel Keamanan Malala Yousafzai berjaya ke Universiti Oxford


Malala mengumumkan berita gembira itu pada hari di mana semua pelajar di seluruh Britain menerima keputusan A-Level mereka. – Gambar AFP, 17 Ogos, 2017.

PEMENANG Anugerah Nobel Keamanan Malala Yousafzai yang ditembak oleh Taliban kerana menganjurkan pendidikan bagi kanak-kanak perempuan di negara kelahirannya Pakistan, hari ini mengumumkan kejayaannya menempatkan diri di Universiti Oxford.

“Sangat teruja untuk ke Oxford!” Malala melahirkan kegembiraannya di Twitter bersama gambar mesej yang mengesahkan penerimaannya dalam bidang falsafah, politik dan ekonomi (PPE).

Pengumuman itu dibuat pada hari di mana semua pelajar di seluruh Britain menerima keputusan A-Level mereka, yang sebelum menamatkan persekolahan menengah.

Malala tidak memberitahu keputusan A-Levelnya tetapi berkata : “Tahniah kepada semua pelajar A-Level - tahun yang paling sukar. Semoga berjaya di masa-masa akan datang!”

Malala hanya berusia 15 tahun ketika ditembak di kepalanya oleh penembak Taliban pada Oktober 2012 ketika menaiki bas untuk pulang ke rumahnya di lembah Swat selepas menduduki peperiksaan.

Dia diterbangkan ke Birmingham untuk dirawat dan semenjak itu dia dan keluarganya menetap di sana bagi meneruskan persekolahan.

Malala menerima anugerah Nobel Keamanan ketika berusia 17 tahun pada 2014 bersama Kailash Satyarthi dari India kerana memperjuangkan hak kanak-kanak.

Pada Julai, Malala membuka sebuah akaun Twitter pada hari terakhir persekolahannya, yang disifatkannya sebagai pengalaman “pahit manis”.  

“Saya tahu ada berjuta kanak-kanak perempuan di seluruh dunia yang tidak bersekolah dan tak mungkin berpeluang untuk menamatkan pelajaran mereka,” tulis Malala.

Namun katanya, dia sangat “teruja” tentang masa depannya dan berjanji untuk terus “berjuang untuk kanak-kanak perempuan”.

PPE ialah bidang berprestij yang telah melahirkan ramai ahli politik Britain dan pemimpin dunia, termasuk bekas perdana menteri pakistan Benazir Bhutto. –  AFP, 17 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen