Bajet 2019: Johor mesti fokus wakaf, air


MEMANDANGKAN tidak lama lagi Belanjawan Negeri Johor bagi tahun 2019 akan dibentangkan, elok sekiranya kita meneliti beberapa perkara yang mesti diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri. Setidak-tidaknya, dari sudut pandang seorang rakyat Johor. Saya mempunyai dua perkara yang ingin diketengahkan.

Pertama, keperluan memperkasa ekonomi dan rekayasa sosial berdasarkan instrumen ekonomi Islam, khususnya wakaf.

Wakaf adalah satu instrumen yang sangat penting, malah semakin sinonim dengan ekonomi serta pemerkasaan sosial Johor. Sudah banyak projek serta inisiatif yang dijayakan di Johor menggunakan instrumen wakaf. Misalnya, Larkin Sentral. Kompleks stesen bas moden Johor yang kita mempunyai wajah dan kecekapan yang sama sekali berbeza dan jauh lebih baik berbanding sebelumnya.

Wakaf mempunyai potensi besar yang mesti dioptimumkan. Banyak tanah wakaf di seluruh Johor yang masih tidak dibangunkan dengan selayaknya. Malah, institusi-institusi yang terlibat dengan wakaf, belum cukup radikal, inovatif dan mantap dalam mempromosi serta menjayakan agenda wakaf di Johor. Kesemua institusi terlibat mesti diperkasa, diberi kuasa dan dimantapkan agar agenda wakaf Johor akan berjalan lancar dan berkesan.

Atas dasar itu, semasa pembentangan Bajet 2018 pada November tahun lalu serta dalam manifesto Barisan Nasional Johor menjelang PRU-14, wakaf menjadi antara perkara utama yang saya tekankan. Malah, penekanan terhadap instrumen wakaf ini diletakkan sebagai salah satu agenda kritikal yang akan difokuskan.

Saya percaya Kerajaan Negeri Johor hari ini mesti mempamerkan komitmen yang lebih baik untuk terus memperkembang dan mengukuhkan wakaf sebagai instrumen membangunkan kesejahteraan di Johor. Institusi-institusi yang terlibat dengan wakaf Johor mesti menerima sokongan dan galakan yang serius dan besar dari Kerajaan Negeri. Bukannya diganggu atau dilemahkan. Menteri Besar Johor, Osman Sapian mesti menunjukkan kesungguhan ini.

Kedua, isu air.

Johor berhadapan dengan masalah air yang berterusan. Masalah ini hadir dalam dua bentuk. Pertama, masalah bekalan dan perkhidmatan yang sering terganggu. Kedua, caj atau tarif air yang sangat mahal.

Saya sudah kerap kali menegaskan keperluan dan kewajaran untuk Kerajaan Negeri Johor mengambil alih Syarikat Air Johor-Ranhill (SAJ-Ranhill). Bukan sahaja Kerajaan Negeri mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dengan rizab kira-kira 4 bilion. Tetapi, kelebihan yang akan diperolehi sangat besar. Ia akan meningkatkan kecekapan pengurusan dan agihan bekalan serta merendahkan tarif dan caj air.

Adalah amat merugikan jika rizab negeri yang besar ini tidak digunakan untuk manfaat rakyat Johor sendiri. Malangnya, Kerajaan Negeri dengan terburu-buru bukan sahaja telah menolak saranan ini. Tetapi tampil dengan idea drastik dan melulu untuk menubuhkan pula syarikat air Johor yang baharu.

Lebih menyedihkan, sehingga kini kita belum dengar apakah status dan perkembangan terkini berhubung idea ini. Atau adakah ia hanyalah satu pengumuman yang dibuat secara semberono tanpa sedikit pun keseriusan untuk melaksanakannya?

Bajet 2019 Negeri Johor

Justeru, dalam Bajet 2019 nanti, Menteri Besar Johor bertanggungjawab untuk membentangkan pelan dan strategi beliau untuk mengatasi masalah air Johor. Adakah beliau akan meneruskan cadangan membuka syarikat air Johor yang baharu? Sudahkah syarikat yang akan dibuka ini mempunyai apa-apa kepakaran, infrastruktur dan dana buat masa kini?

Ringkasnya, Menteri Besar Johor mesti mempamerkan keupayaan untuk mengemukakan solusi kepada masalah air dan memaksimumkan potensi wakaf
Johor.

Berhentilah memberi fokus kepada proses penukaran nama sahaja kepada semua inisiatif berjaya yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini. Ia bukan sahaja membazirkan sumber, masa dan tenaga. Tetapi tidak memberi nilai tambah yang sebenar kepada masyarakat.

Saya sangat berharap yang kedua-dua isu ini tidak dipolitikkan oleh Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Johor. Semoga saranan ini diterima dengan terbuka, profesional dan matang. Ia adalah isu penting yang melibatkan kepentingan rakyat Johor secara langsung. – 21 November, 2018


* Mohamed Khaled Nordin merupakan Naib Presiden Umno 

 * Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen