Berdamai dengan Korea Utara satu ‘kemungkinan’, kata AS


Joseph Dunford mendengar taklimat ketika mengadakan lawatan ke Beijing baru-baru ini bagi membincangkan ketegangan melibatkan Korea Utara. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2017.

BERDAMAI dengan Korea Utara adalah satu “kemungkinan”, kata pegawai tentera kanan Amerika Syarikat pada Khamis, namun memberi amaran AS memiliki “kredibiliti dan tentera yang berdaya maju” untuk menangani rejim itu.

Jeneral Joe Dunford yang merupakan pengerusi ketua turus Amerika Syarikat juga memberitahu pemberita ketika lawatannya ke Beijing bahawa AS tiada rancangan untuk mengadakan semula latihan ketenteraan dengan Korea Selatan yang menimbulkan kemarahan kedua-dua negara China dan Korea Utara.

“Apa yang tidak dapat dibayangkan pada saya ialah pilihan ketenteraan,” kata Dunford.

“Apa yang tidak dapat dibayangkan adalah membenarkan (pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un) membangunkan peluru berpandu balistik dengan kepala peledak nuklear yang mampu mengancam Amerika Syarikat dan meneruskan ancaman di rantau ini.”

Presiden Korea Selatan Moon Jae-In pada Khamis berkata tidak akan berlaku peperangan di semenanjung Korea.

“Semua rakyat Korea Selatan bekerja keras bersama-sama untuk membina semula negara ini daripada kemusnahan akibat Perang Korea. Kita tidak boleh hilang segalanya dengan satu lagi peperangan.

Dunford yang berada di Korea Selatan awal minggu ini akan meneruskan lawatan ke Jepun pada Khamis bagi membincangkan ketegangan yang berpunca daripada program senjata Korea Utara dan mengakui penyelesaian ketenteraan adalah satu perkara yang “mengerikan”.

Tetapi katanya, ia akan diteruskan sekiranya tekanan diplomatik dan ekonomi gagal membawa kepada rundingan.

“Saya percaya ia masih panjang, namun kita berada di landasan di mana ia mempunyai kemungkinan, dan saya berharap kita mampu menyelesaikannya dalam keadaan aman,”kata Dunford.

Pada Rabu, China yang dituduh AS tidak melakukan sewajarnya untuk menghalang rejim autoritarian Kim, mula melaksanakan sekatan terhadap import logam, bijih besi dan makanan laut ke Korea Utara sebagai menyokong resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu awal bulan ini.  –  AFP, 17 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen