'Edi Rejang' mohon maaf kepada promoter arak, rakyat Malaysia


Chan Kok Leong

Minuman keras dijual di bahagian tidak halal di pasar raya tempatan namun ia tidak menghalang lelaki terbabit menyerang promoter wanita berkenaan. – Gambar EPA, 21 November, 2018

SEORANG lelaki yang mengakui menyerang promoter arak wanita di sebuah pasar raya baru-baru ini memohon maaf secara terbuka dan menyatakan rasa kesal atas tindakannya itu. 

Permohonan maaf kepada wanita terbabit dan semua rakyat Malaysia itu dimuat naik di Facebook menerusi klip video berdurasi 45 saat kira-kira pukul 1.30 pagi hari ini. 

“Saya yang dikenali sebagai Edi Rejang ingin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia terutama kepada promoter perempuan tersebut,” katanya. 

“Saya akui kesalahan saya dan amat menyesal atas tindakan saya terhadap promoter tersebut. Saya berharap isu ini tidak dipanjangkan lagi oleh mana-mana pihak memandangkan saya telah bertemu dengan YB Lim Lip Eng dan telah membuat permohonan maaf.”

Lekaki terbabit juga berkata, Lim akan mengaturkan pertemuan antaranya dengan promoter berkenaan secepat mungkin. 

“Edi Rejang” mencetuskan kemarahan umum selepas merakam dirinya berdepan seorang promoter arak di sebuah pasar raya di Ampang minggu ini. 

Dalam klip video berdurasi 45 saat itu, lelaki terbabit dilihat mengganggu wanita berkenaan berkenaan bangsa dan agamanya dan mempersoalkan mengapa wanita berkenaan mempromosikan arak secara terbuka. 

Promoter wanita terbabit dengan tenang menjawab arak itu hanya diberikan kepada pelanggan bukan Islam.

Video berkenaan berakhir dengan tindakan lelaki terbabit menunjukkan isyarat lucah kepada wanita berkenaan.  

Pemeriksaan di Facebook kemudian menunjukkan akaun Edi Rejang ditutup. 

Polis berkata, pihaknya memburu lelaki terbabit untuk siasatan berhubung kes yang diklasifikasikan sebagai menghina wanita dengan perbuatan atau perkataan. 

Ini selepas Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng membuat laporan polis berhubung video yang viral itu. 

Ia juga membawa kepada penyebaran gambar yang didakwa kejadian buli melibatkan kanak-kanak dengan butiran sekolah mereka. 

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching kemudiannya mengeluarkan kenyataan menggesa masyarakat umum agar tidak melibatkan kejadian bulu kanak-kanak dalam kes ini. 

Katanya, pihaknya tidak akan membenarkan mana-mana kanak-kanak didiskriminasi atau dibuli di sekolah. 

“Hentikan kebencian dalam masyarakat, dan tolong jangan bawa ke sekolah,” kata Teo menerusi posting di Facebook semalam. – 21 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen