Bayar balik pinjaman PTPTN dengan gaji di bawah RM4,000


Looi Sue-Chern Zaim Ibrahim Christopher Rabin

KETIKA tumpuan diberikan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kerajaan Pakatan harapan kerana gagal menunaikan janji pilihan raya untuk menangguhkan bayaran pinjaman sehingga peminjam mendapat gaji yang lebih tinggi, terdapat segelintir graduan yang mampu membayar semula bayaran bulanan mereka walaupun berpendapatan kurang daripada RM4,000. 

Bagi sesetengah orang, ini bermakna memotong perbelanjaan untuk apa yang mereka suka. Malah ada yang mengakui mereka mampu berkuat demikian kerana keadaan mereka, seperti tinggal bersama ibu bapa atau mempunyai pasangan yang membantu. 

Mereka turut menggunakan pelbagai cara untuk menguruskan hutang. Ada yang menggunakan kaedah potongan gaji; dan yang lain menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan ada yang mengambil kesempatan membayar ketika ditawarkan diskaun. 

Seorang graduan yang hanya mahu dikenali sebagai Lily berkata, beliau mula membayar semula pinjaman selepas bergraduat pada 2008 walaupun berpendapatan kurang dari RM4,000. 

Awal tahun ini, beliau berjaya melunaskan RM19,700 hutang yang diambil untuk pengajian Komunikasi Massa di Universiti Sains Malaysia. 

“Setiap bulan, saya asingkan RM200 untuk bayar balik PTPTN. Separuh daripada duit itu datang dari gaji saya manakala separuh lagi tolak daripada KWSP. 

Normizan Qistina Kamaruzzaman mula membayar semula pinjaman pada 2014, tahun yang sama beliau bergraduat. – 21 November, 2018

“Gaji saya sekitar RM3,900 ketika mula membayar semula pinjaman,” katanya yang bekerja sebagai penyelia kepada The Malaysian Insight. 

Pada mulanya, beliau merasa beban namun beliau buat perubahan dan kini tidak lagi rasa terbeban. 

Beliau tidak mempunyai komitmen kewangan utama selain pinjaman kereta dan suaminya membayar kebanyakan bil rumah. 

“Saya masih boleh menyimpan RM500 setiap bulan selepas meletakkan RM1,500 untuk perbelanjaan rumah seperti makanan. Saya tidak perlu korbankan banyak untuk pinjaman pelajaran. Kami masih lagi boleh pergi bercuti.”

Lily berkata beliau tidak mahu berhenti membayar pinjaman kerana percaya semua hutang perlu dibayar. 

“Wang itu membolehkan saya mendapatkan pendidikan dan pekerjaan yang baik. Jadi lebih baik saya bayar semula wang itu selepas mula bekerja. 

“Jika kamu ada hutang, bayar sahaja. Jadi apabila kamu meninggal dunia, tuhan tidak akan persoalkan kamu lagi,” tambahnya. 

Menggunakan diskaun

Normizan Qistina Kamaruzzaman, 27, juga sedang membayar semula pinjaman RM21,000, yang diambil ketika mengambil jurusan ijazah Sains Gunaan (Konservasi Biodiversiti dan Pengurusan) di Universiti Malaysia Terengganu. 

Bekerja sebagai pembantu penyelia runcit dengan gaji RM3,000 sebulan, beliau mula membayar semula pinjaman pada 2014, tahun yang sama beliau bergraduat. 

Mohammad Farawin Samsul Kamal yang hanya mendapat gaji RM1,200 sebulan sebagai penjaga gudang sudah tiga tahun membayar pinjaman PTPTN. – 21 November, 2018

Beliau mencari pilihan bayaran semula dan diskaun yang ditawarkan kepada peminjam yang sentiasa membayar hutang mereka. 

Dalam dua tahun pertama, beliau membayar pinjaman menerusi bank sebelum bertukar kepada bayaran auto-debit untuk menikmati diskaun. 

“Saya bayar RM250 sebulan melalui potongan gaji. Kemudian saya ambil duit daripada akaun dua KWSP untuk membayar separuh daripada jumlah keseluruhan bagi mendapatkan 10% diskaun. 

“Saya akan selesai bayar pinjaman PTPTN saya tahun depan. Saya bimbang untuk selesaikan hutang…malangnya kerajaan tidak lagi berikan diskaun,” kata gadis berasal dari Perak itu. 

Normizan berkata beliau tidak merasa terbeban kerana tidak mempunyai banyak komitmen.

“Selepas membayar pinjaman, sewa dan depositkan ke ASB (Amanah Saham Bumiputera) dan belanja untuk kenderaan dan perbelanjaan lain, saya masih boleh menyimpan RM500 sebulan.

“Saya rasa kamu hanya perlu pastikan hidup teratur dan fokus,” katanya ketika ditanya adalah membayar semula pinjaman PTPTN menjadikan hidupnya sukar. 

Gaji RM1,200

Ianya satu cabaran yang besar, bagaimanapun bagi graduan yang berpendapatan kurang daripada Lily dan Normiza, seperti Mohammad Farawin Samsul Kamal, 24, yang hanya mendapat gaji RM1,200 sebulan sebagai penjaga gudang.

Dalam Bajet 2019, kerajaan mencadangkan peminjam PTPTN mula membayar pinjaman mereka pada pendapatan minimum RM1,000 sebulan menerusi potongan gaji berjadual dari 2% hingga 5% bergantung kepada berapa banyak pendapatan mereka. 

Cadangan itu bagaimanapun masih tidak diterima kebanyakan peminjam kerana ia bermakna pembayaran balik itu bermula pada gaji yang lebih rendah daripada yang dijanjikan Pakatan sebanyak RM4,000 semasa pilihan raya.

Namun Farawin berkata beliau masih mampu membayar RM120 sebulan pinjaman RM15,000 yang diambil ketika menuntut dalam bidang teknologi permainan di Politeknik Arau, Perlis. 

Beliau sudah membayar ansuran pinjamannya tiga tahun sejak mula mendapat kerja.

Lee Pak Sing yang baru sahaja bergraduat terpaksa membuat bajet dengan teliti kerana terikat dengan komitmen seperti rumah sewa dan kos sara hidup yang tinggi di bandar. – 21 November, 2018

“Saya perlu bertanggungjawab dengan duit yang saya pinjam. Ia sukar dengan saya yang sedikit, tetapi apa boleh buat? Hutang tetap hutang dan ia perlu dibayar,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Seorang lagi graduan Politeknik Arau, Izmin Ibrahim, 30, membayar semula pinjaman PTPTN RM14,000 selama empat tahun. Penjawat awam itu membuat bayran tahunan RM3,000 menggunakan simpanan KWSPnya. 

“Ia mungkin agak membebankan, tetapi jika tidak bayar mungkin akan timbul masalah lain. 

“Nasib baik kita boleh guna wang dari simpanan KWSP. Jika kita tiada pilihan ini, tentu lebih sukar untuk bayar semula pinjaan,” kata Izmin yang mengambil jurusan pelancongan. 

Bajet yang teliti

Graduan baru Lee Pak Sing mendapati, bayaran semula pinjaman agak sukar dengan gaji RM2,300 dan tidak sabar menunggu kenaikan gaji. 

Pemuda berusia 24 tahun itu perlu berpindah dari kampungnya dan menyewa di Kuala Lumpur untuk bekerja, dan ini memakan kos perbelanjaannya. 

Selain sewa rumah, beliau perlu membayar pinjaman untuk motosikal dan bil telefon. Selepas potongan caruman KWSP, beliau hanya ada sedikit baki untuk menikmati makanan yang enak dan berhibur. 

“Untuk bayar semula pinjaman pelajaran, saya membajet makanan saya RM20 sehari dan saya makan kurang daripada kebiasaan. Ada kalanya kerana bayaran yang tak dapat dilihat, simpanan saya dipotong. 

“Saya potong untuk hiburan. Saya tidak boleh belanja untuk perkara lain, jadi kebanyakan masa saya duduk di rumah,” kata Lee yang bekerja sebagai eksekutif pembangunan perniagaan dan membayar RM250 sebulan untuk pinjaman pelajaran sebanyak RM48,000. 

Tang Yong En yang tinggal bersama keluarga tidak terlalu terasa dengan potongan bulanan bayaran balik pinjaman pelajaran. – 21 November, 2018

“Wang yang tinggal saya guna untuk beli barangan keperluan, makanan dan petrol.”

Pekerja bank Tang Yong En sedar beliau sangat bertuah untuk mempunyai pekerjaan dengan gaji yang baik dan tinggal dengan keluarga. 

“Saya bertuah kerana tidak perlu bayar sewa rumah atau pinjaman kenderaan. Ini membolehkan saya ada duit lebih untuk perkara lain seperti keahlian gim,” katanya yang berusia 24 tahun.

Beliau merasakan bagi peminjam yang tinggal dan bekerja di bandar menanggung kos sara hidup yang tinggi. 

Tang membayar semula pinjaman mengunakan auto debit dari akaun banknya jadi beliau “tidak” merasakan sangat bayaran bulanan”.

Katanya, cara bayaran ini adalah baik untuk peminjam kerana ia memberikan rebat 10% untuk bayaran bulanan. 

PTPTN pada Jun menyaksikan penurunan kutipan tahun ini bermula Januari. Kutipan purata bulanan pinjaman berjumlah RM300 juta tetapi tidak melebihinya sejak awal tahun ini. Jumlah yang dibayar kepada PTPTN adalah RM3.98 bilion pada tahun lepas. – 21 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen