Serangan kata lucah terhadap pekerja pasar raya, polis buru seorang lelaki


Alfian Z.M. Tahir

POLIS sedang mencari seorang lelaki yang secara lisan menyerang seorang gadis pekerja promosi bir di sebuah pasar raya yang tular baru-baru ini dalam sebuah video di internet.

Sumber polis Balai Polis Daerah Ampang Jaya berkata polis sedang menyiasat perkara tersebut.

“Kami sedang mencari lelaki dalam video itu dan kini polis sedang menyiasat lokasi tempat tinggalnya,” kata sumber itu.

Difahamkan siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng membuat laporan polis di samping mendesak polis bertindak pantas menahan pelakunya.

Pemimpin DAP itu berkata dengan menangkap suspek, ia dapat menamatkan ketegangan kaum yang berlaku akibat kejadian tersebut.

Facebook dan Twitter menjadi semakin hangat hari ini setelah video tersebut dimuat naik ke atas talian.

Ia didakwa dilakukan seorang lelaki bernama Edi Rejang.

Dalam klip video selama 45 saat itu, seorang lelaki dipaparkan mengganggu pekerja promosi itu dengan mempersoalkan kaum dan agama di samping bertanya mengapa gadis itu mempromosi bir secara terbuka.

Malaysia mempunyai pelbagai kaum sebagai warganegaranya, namun beberapa insiden boleh menyebabkan ketegangan antara sesama masyarakat. – Gambar EPA, 20 November, 2018.

Gadis tersebut bagaimanapun menjawab segala pertanyaan dengan tenang dan menyatakan beliau hanya memberikan minuman itu kepada pelanggan bukan Islam.

Video itu kemudian berakhir dengan lelaki itu menunjukkan “jari tengah” terhadap gadis itu.

Pemeriksaan di Facebook menunjukkan bahawa akaun Edi Rejang telah dinyah aktif. – 20 November, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen