Tidak akan berlaku perang di semenanjung Korea, kata Presiden Moon


Presiden Moon Jae-In berkata Seoul mempunyai kuasa veto ke atas tindakan tentera Amerika Syarikat dalam tindakbalasnya terhadap program peluru berpandu dan nuklear Korea Utara. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2017.

PEPERANGAN tidak akan berlaku di semenanjung Korea kata Presiden Moon Jae-In pada Khamis, dan berkata Seoul mempunyai kuasa veto ke atas tindakan tentera Amerika Syarikat dalam tindakbalasnya terhadap program peluru berpandu dan nuklear Korea Utara.

Ketegangan di semenanjung itu semakin memuncak sejak beberapa bulan lalu di mana Pyongyang berjaya dalam ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).

Minggu lalu, Korea Utara mengancam untuk melancarkan peluru berpandu ke wilayah AS di Guam – walaupun kini negara itu menangguhkannya sementara Presiden AS Donald Trump menjanjikan “api dan kemusnahan” dan berkata senjata Washington kini bersiap sedia.

Ketegangan retorik itu menimbulkan kebimbangan berlaku salah perhitungan yang boleh menyebabkan bencana besar – Pyongyang telah mengerahkan pasukan artilerinya dalam jarak hampir dengan Seoul, yang menjadi tempat tinggal jutaan rakyat negara itu.

Namun Moon berkata: “Saya akan halang peperangan dengan apa cara sekalipun.”

“Saya mahu rakyat Korea Selatan percaya dengan keyakinan tidak akan berlaku peperangan,” katanya pada sidang media pada 100 harinya sebagai presiden negara itu.

Amerika Syarikat menjadi penjamin kepada keselamatan Korea Selatan sejak tamat Perang Korea pada 1953, yang menyebabkan semenanjung itu terbahagi kepada dua dan secara teknikalnya ia masih dalam konflik berikutan tiada perjanjian damai ditandatangani.

Washington menempatkan 28,500 anggota tenteranya di negara itu bagi melindunginya dari ancaman Korea Utara.

Namun Moon berkata Seoul memiliki kuasa veto ke atas tindakan ketenteraan oleh AS.  –  AFP, 17 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen