MEREKA mungkin kalah pertempuran untuk jadi kerajaan tetapi beberapa pemimpin politik menang perang menjadikan hubungan kaum suatu isu pemecah belah di Malaysia.
Rancangan mereka senang saja. Marakkan api perkauman, tokok tambah dengan momok agama dan alih perhatian negara daripada isu utama yang menyebabkan ekonomi kita terpuruk lagi – penjarahan dan rompakan wang, tanah dan konsesi sejak Merdeka.
Dua ahli politik nampak ketara dalam hal ini. Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi – kedua-duanya sekarang duduk di kerusi pembangkang selepas pilihan raya umum 9 Mei.
Seorang mahu jadi kuasa penentu atau kingmaker dalam pilihan raya, sementara seorang lain diaibkan jadi presiden Umno pertama berdepan tuduhan jenayah, 45 pertuduhan semuanya, bersabit pecah amanah dan rasuah, dan tiada satu pun yang terkait dengan skandal besar 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Walaupun gagal membentuk kerajaan persekutuan, mereka berdua dan parti mereka mengambil kesempatan atas satu isu yang menyekat Malaysia jadi sebuah bangsa sejahtera seperti yang dibayangkan oleh perdana menteri pengasas negara Tunku Abdul Rahman.
Ini sajalah yang PAS dan Umno tahu selama ini. Kononnya Melayu tertindas dan sebarang usaha menghapuskan diskriminasi atau menganjurkan kesamaan dan kesaksamaan akan mengancam kontrak sosial.
Ini mengarut.
Rakyat Malaysia tidak harus terpengaruh dengan provokasi mereka. Kenyataan mereka sejak beberapa hari lalu menunjukkan betapa mereka tidak tahu tentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan usaha Malaysia untuk mengesahkannya.
Lihat saja kenyataan Hadi di Kuala Terengganu malam semalam.
“Malangnya ada orang Islam yang tak faham atau buat-buat tak faham… nak berjuang atas nama persamaan, nak menjadikan Islam ini sama dengan agama lain, ini tidak boleh.
“Kita mesti menentang (ICERD) kerana orang Islam wajib mengatakan Islam itu betul. Kita beri hak kepada agama lain, tak ganggu tapi nak kata agama lain betul juga macam Islam tak boleh. Ini sempadan yang kita tak boleh langgar,” katanya.
Barangkali beliau tidak boleh membezakan antara kaum dan agama. Atau barangkali beliau tidak peduli kerana mahu menekankan agendanya yang eksklusif dan bukannya inklusif. Tidak hairanlah kenapa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selalu berkata PAS ini kuasa pemecah di negara ini.
Tidak cukup dengan itu, Zahid mengancam akan ada kacau-bilau kalau Malaysia meratifikasi ICERD. Ancamannya itu menunjukkan orang Melayu hanya mampu mengamuk kalau kehendak mereka tidak dituruti.
“Jangan sampai orang Melayu amuk. Tetapi kalau amaran Abdul Hadi tidak diendahkan, Umno dan PAS bersatu.
“Kita bukan sekadar memberikan amaran, kita akan buktikan sekiranya tidak ada pengisytiharan menolak ICERD ini, pasti Umno-PAS, orang Melayu-Islam akan bangun di seluruh negara menentangnya. Jangan minta,” katanya dalam satu rapat umum membantah ICERD di Pasir Salak, malam Ahad lalu.
Sekiranya orang Melayu menyokong Umno dan PAS, tidakkah dua parti itu kerajaan persekutuan sekarang dan bukannya Dr Mahathir dan sekutunya dalam Pakatan Harapan?
Kenyataan Hadi dan Zahid adalah ancaman yang boleh memecahbelahkan negara dan menjejaskan ketenteraman awam. Dr Mahathir sepatutnya tidak lagi bertolak ansur dan melayan mereka sama seperti ancaman lain yang pernah beliau tangani dahulu.
Meratifikasikan ICERD, kalau itu boleh dilakukan sekarang, tidak akan merugikan sesiapa di negara ini.
Apa yang merugikan rakyat Malaysia ialah ahli politik selama ini bermanis mulut tetapi pada masa sama merompak khazanah negara. Mereka ada di barisan pembangkang dan ada dalam senarai pendakwaan jenayah.
Mereka kini mahu merampas keharmonian Malaysia dengan mengalihkan perhatian rakyat daripada salah laku mereka. Mereka mesti ditolak dan dihumban ke dalam longgokan sampah sejarah. – 20 November, 2018.
* Jahabar Sadiq mengendalikan The Malaysian Insight.
Komen