Tentera AS terbunuh dalam operasi menentang IS di Afghanistan


Amerika Syarikat merancang untuk menambah anggota tentera di Afghanistan bagi membantu menumpaskan militan IS. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2017.

ANGGOTA tentera Amerika Syarikat terbunuh di Afghanistan dalam operasi yang mensasarkan militan IS, kata komander tentera pada Khamis dalam serangan terbaharu terhadap tentera Amerika di negara bergolak itu.

Kematian itu membawa kepada peningkatan angka korban tentera AS yang sepatutnya menjalankan peranan bukan pertempuran di negara itu setakat ini kepada 10 orang.

“Salah seorang anggota AS yang bertugas meninggal dunia berikutan kecederaan yang dialami ketika menjalankan operasi bersama antara tentera AS dan Afghanistan di timur negara itu,” kata Pasukan AS-Afghanistan dalam satu kenyataan.

“Anggota tentera AS dan Afghanistan turut tercedera dalam operasi yang menyasarkan militan IS Iraq dan Syria-Khorasan yang berada di Afghanistan,” katanya merujuk kepada kumpulan IS di Afghanistan.

Mereka yang tercedera kemudiannya dikeluarkan daripada lokasi bergolak untuk mendapatkan rawatan, kata kenyataan itu.

Awal bulan ini, dua anggota tentera AS terbunuh dalam serangan di Kandahar di mana pengebom bunuh diri merempuh kenderaan yang sarat dengan bahan letupan ke arah konvoi pasukan tentera.

Insiden itu berlaku sejurus Presiden Donald Trump membuat keputusan menghantar lebih ramai anggita tentera ke Afghanistan bagi membantu menentang Taliban serta peningkatan militan IS.

Angkatan tentera AS sering menyasarkan pejuang IS di Afghanistan sejak kumpulan itu menawan kawasan timur negara itu pada 2015.

Beberapa orang pemimpin militan turut dibunuh tentera AS dalam tempoh beberapa bulan lalu dan berazam untuk menewaskan militan itu menjelang akhir tahun ini.

Pada April, tentera AS menggugurkan “ibu segala bom” ke atas kawasan persembunyian IS dalam tangkaian terowong dan kubu di timur Nagarhar, membunuh 90 militan.

Pentagon berkata, alat GBU-43/B merupakan bom bukan nuklear terbesar yang pernah digunakan dalam pertempuran.  –  AFP, 17 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen