Tidak perlu rayu kes Rantau kalau Umno sedia, kata Mohamad Hasan


SM Amin

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata beliau akan mempertimvangkan dalam masa 14 hari sama ada untuk meneruskan rayuan atau tidak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2018

MOHAMAD Hasan tidak akan merayu keputusan mahkamah membatalkan keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri Rantau sekiranya jentera Umno sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil.

Timbalan Presiden Umno itu berkata beliau ada masa 14 hari untuk melibat semua kemungkinan terutamanya persiapan parti menghadapi pilihan raya kecil yang perlu diadakan selepas keputusan PRU14 lalu diisytiharkan tidak sah dan terbatal.

“Saya kena lihat dan pertimbangkan baik buruk, perlu merayu atau tidak. Ada 14 hari untuk fikir. Tidak perlu tergesa-gesa.

“Tetapi jika jentera parti semua sudah bersedia, tidak payah kita buat rayuan. Kita masuk gelanggang terus,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jumaat lalu, Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kemenangan tanpa bertanding bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu tidak sah dan terbatal, dan memerintahkan pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Rantau diadakan serta merta.

Dalam keputusannya, Hakim Azimah Omar berkata pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan itu telah bertindak tanpa etika dan integriti apabila menyekat calon PKR, Dr S Streram daripada mengemukakan kertas pencalonannya.

Bagaimanapun mahkamah memutuskan untuk tidak memberi perakuan keputusan itu sehingga tamat tempoh rayuan selama 14 hari.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun sebelum ini juga berkata pihaknya akan menetapkan pilihan raya kecil sekiranya tiada rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

“Pilihan raya kecil hanya akan diadakan sekiranya tiada rayuan atau proses rayuan di Mahkamah Persekutuan telah selesai sepenuhnya,” katanya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini meminta Mohamad supaya mempertimbangkan untuk tidak membuat rayuan kerana Rantau merupakan kubu kuat Umno.

“Tok Mat walaupun sistem perundangan boleh buat rayuan, jangan merayu terhadap keputusan mahkamah khas pilihan raya.

“Umno dan Barisan Nasional akan berani menghadapi PRK Rantau. Ini kawasan Tok Mat,” ujarnya.

Mohamad menyandang kerusi DUN Rantau sejak pilihan raya umum ke-11 pada 2004. Beliau menang kali pertama mengalahkan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dengan majoriti 6,199 undi.

Beliau mempertahankan kerusi itu dalam PRU12 dan PRU13, dua kali mengalahkan calon PKR, Aishah Lamsah masing-masing dengan majoriti 4,613 dan 3,783 undi. – 20 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen