Larang wakil rakyat pembangkang ke sekolah ikut dasar BN, kata Nik Nazmi


Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berpandangan kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik itu seperti amalan keranaan BN sebelum ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2018.

WAKIL rakyat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad tidak bersetuju dengan pandangan rakan dalam Pakatan Harapan (PH) yang juga Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang dilihat seperti mengguna pakai semula tindakan Barisan Nasional (BN) dengan melarang ahli Parlimen pembangkang masuk ke sekolah awam tanpa mendapatkan kebenaran terlebih dulu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Nik Nazmi berkata kerajaan persekutuan yang baharu perlu mengguna pakai lebih banyak dasar terbuka “untuk meningkatkan lagi moral”.

“Saya tidak bersetuju dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang menyatakan pandangan di Parlimen bahawa wakil rakyat pembangkang wajib meminta kebenaran dari kementeriannya melalui pengarah Jabatan Pendidikan Negeri berkaitan sebelum masuk ke sekolah kerajaan.

“Mengharamkan pihak pembangkang dari sekolah dan institusi pengajian lain adalah salah satu penyalahgunaan kuasa yang paling buruk di bawah pemerintahan Barisan Nasional sebelumnya,” katanya.

Nik Nazmi berkata walaupun beliau menjadi exco pendidikan Selangor dari 2014 hingga 2018, beliau dilarang memasuki sekolah di negeri itu dan pernah terpaksa berpura-pura menjadi mahasiswa untuk masuk ke forum yang diadakan di Universiti Malaya.

Beliau berkata, tindakan tentu boleh diambil jika mana-mana wakil rakyat menyalahgunakan platform ini, seperti dengan menghasut kebencian kaum atau agama atau menyebarkan dakyah kepartian.

“Pakatan Harapan mestilah berbeza. Kita mesti melakukan lebih baik dalam hal ini dan semua perkara,” katanya yang juga ahli Parlimen Setiawangsa.

Semalam, Dr Maszlee berkata ahli Parlimen pembangkang perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa pendidikan negeri sebelum dibenarkan masuk ke sekolah awam.

Bercakap kepada wartawan kemudiannya, Dr Maszlee berkata keputusan itu dibuat bagi menghalang penyebaran kenyataan kebencian terhadap kerajaan. – 20 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen