Trump kecam Amazon berhubung cukai dan pekerjaan


Presiden AS Donald Trump berkata Amazon menyebabkan permasalahan besar terhadap pembayar cukai dalam kalangan peruncit. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2017.

PERUNCIT dalam talian terbesar di dunia Amazon dikecam Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berhubung kait isu cukai dan pekerjaan, lapor agensi berita China Xinhua.

“Amazon menyebabkan permasalahan besar terhadap pembayar cukai dalam kalangan peruncit. Bandar dan negeri di seluruh AS kini kehilangan pekerjaan,” kata Trump dalam akaun Twitter miliknya.

Trump menulis beberapa jam selepas The Washington Post, akhbar dimiliki Ketua Pegawai Eksekutif Amazon Jeff Bezos, menerbitkan sebuah artikel mengkritik komen presiden AS mengenai insiden keganasan di Charlottesville.

The Washington Post sering menjadi sasaran kemarahan Trump kerana tindakan akhbar berkenaan yang dikatakan sering menerbitkan “berita palsu”.

Pada Jun Trump dipetik sebagai berkata “Amazon tidak membayar cukai internet (yang sepatutnya).”

Keadaan itu mengeruhkan lagi hubungan Trump dengan komuniti perniagaan dan semalam beberapa lagi pemimpin perniagaan meletak jawatan ekoran komen beliau yang berbaur perkauman.

Amazon mengupah kira-kira 180,000 pekerja di Amerika Syarikat dan bercadang mengambil lagi 100,000 pekerja penuh dan sambilan menjelang pertengahan 2018.

Syarikat itu dikritik peruncit tradisional apabila ramai orang mula beralih kepada kaedah pembelian dalam talian.

Bulan lepas, Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin membayangkan status pembayaran cukai Amazon akan diteliti dan keputusannya akan diumum dalam waktu terdekat.  – Bernama, 17 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen