Lebih 90,000 banduan Indonesia terima pengampunan sempena Hari Kebangsaan


Presiden Indonesia Joko Widodo (tengah) ketika menyampaikan ucapan tahunan di Parlimen sempena Hari Kemerdekaan Indonesia ke-72 di Jakarta semalam. – Gambar AFP, 17 Ogos, 2017.

SEBANYAK 92,816 banduan di seluruh negara mendapat pengampunan daripada kerajaan sempena sambutan Hari Kebangsaan Republik Indonesia ke-72 hari ini.

Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia, Yasonna H Laoly dalam kenyataannya berkata daripada jumlah itu sebanyak 90,372 banduan mendapat pengurangan tempoh tahanan manakala sebanyak 2,444 orang dibebaskan hari ini.

Katanya, pemberian pengampunan itu bertujuan memberi peluang kepada banduan yang terpilih kerana berkelakuan baik untuk kembali kepada kehidupan normal dan menjadi insan yang lebih baik.

Beliau dipetik oleh media dalam talian sebagai berkata pemberian pengampunan itu juga memberi impak penjimatan perbelanjaan negara sehingga berjumlah Rp102 miliar (kira-kira RM300,000).

Sambutan Hari Kebangsaan yang dihadiri ribuan orang itu berlangsung meriah dan berwarna-warni bermula dengan istiadat menaikkan bendera merah putih di perkarangan Istana Merdeka di Jakarta.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan Naibnya Jusuf Kalla serta anggota Kabinet kerajaan masing-masing mengenakan pakaian adat pada upacara peringatan proklamasi kemerdekaan Republik Indonesia ke-72 di halaman Istana.

Jokowi berkata penggunaan pakaian adat itu mewakili keberagaman Indonesia yang mempunyai ratusan etnik dan ia melambangkan perpaduan negara.

Turut hadir pada sambutan yang bermula pukul 8 pagi itu ialah bekas-bekas presiden iaitu Bachruddin Jusuf Habibie, Megawati Soekarnoputri dan Susilo Bambang Yudhoyono.

Indonesia mencapai kemerdekaan sebagai sebuah negara republik pada 17 Ogos 1945 dengan Soekarno menjadi presiden pertama setelah rakyat negara itu bersatu mengusir penjajah Belanda daripada kembali memerintah selepas zaman penjajahan Jepun. – Bernama, 17 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen