Pemimpin pembangkang Iran dimasukkan ke hospital kerana mogok lapar


Pemimpin pembangkang Iran Mehdi Karroubi (tengah) pernah dimasukkan ke hospital awal bulan lalu kerana menjalani pembedahan jantung.– Gambar EPA, 17 Ogos, 2017.

PEMIMPIN pembangkang Iran Mehdi Karroubi, yang dikenakan tahanan rumah sejak enam tahun lalu dimasukkan ke hospital pada Khamis selepas mengadakan mogok lapar bagi meminta tarikh perbicaraan, kata keluarganya kepada media tempatan.

“Keadaan kesihatannya merosot selepas mengadakan mogok lapar dan dia kini berada di hospital,” kata keluarganya kepada laman web Sahamnews.

Beliau dimasukan ke Hospital Shahid Rajaei berikutan tekanan darah tinggi, kurang 24 jam selepas memulakan mogok itu pada pagi Rabu, katanya dan menambah sehingga kini Karroubi masih lagi enggan makan.

Anaknya Mohammad turut mengesahkan perkara itu menerusi laman sosial Twitter miliknya.

“Pada jam 1.00 pagi Khamis ayah dihantar ke hospital kerana mogok lapar. Doakan,” katanya.

Isteri Karroubi, Fatemeh Karroubi memberitahu Sahamnews permintaan pertamanya adalah untuk mengeluarkan ejen perisik kementerian dari rumahnya dan juga kamera keselamatan yang dipasang baru-baru ini, yang mana katanya tahanan rumah belum pernah berlaku sebelum atau selepas revolusi Islam 1979.

“Yang kedua…sekiranya tahanan rumah ini diteruskan, mereka perlu mengadakan perbicaraan umum,” katanya.

Beliau dan rakan ketua reformist Mir Hossein Mousavi merupakan calon pilihan raya presiden pada 2009 yang dipertikaikan sehingga mencetuskan bantahan kerana dakwaan mereka memihak kepada penyandang Mahmoud Ahmadinejad.

Kedua-dua mereka dikenakan tahanan rumah pada 2011 kerana peranan mereka dalam bantahan itu – yang ditindas dengan kejam oleh rejim – namun tidak pernah didakwa.

Pada Mac, Iran menjatuhkan hukuman enam bulan penjara terhadap anak sulung Karroubi, Hossein Karroubi kerana “propaganda terhadap rejim” selepas menyiarkan surat yang ditulis bapanya kepada presiden Iran Hassan Rouhani untuk meminta perbicaraan.

Karroubi berusia 79 tahun ernah dimasukkan ke hospital awa bulan ini kerana menjalani pembedahan jantung, lapor Sahamnews.  –  AFP, 17 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen