PRESIDEN Dewan Negara S A Vigneswaran akan menyaman Menteri Pengangkutan Anthony Loke atas tuduhan fitnah selepas menuduhnya melanggar protokol keselamatan bagi kawasan larangan di lorong VIP Lapangan Terbang Kuala Lumpur.
Presiden MIC itu berkata beliau akan memulakan prosiding undang-undang terhadap menteri DAP berkenaan secepat mungkin kerana memperbesarkan perkara itu, sehingga menyebabkan beliau dan keluarganya dihina.
Beliau berkata selepas Loke menunjukkan kepada media rakamannya memakai sandal di lorong VIP dan mendakwa menceroboh kawasan larangan tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya, beliau menjadi mangsa cemuhan orang ramai dan “dibicarakan oleh media”.
“Komen tidak senonoh dibuat (terhadap saya dan keluarga) di media sosial. Sebagai ahli politik dan juga presiden senat, saya boleh menerima semua itu dan terpulang kepadanya.
“Tetapi menghina anak perempuan dan isteri saya, yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan perkara ini ... Sebagai bapa, tidakkah beliau mempertimbangkan ini semua selepas video itu dimuat naik di media sosial?
“Saya akan menyaman Loke. Beliau menggunakan Malaysian Airports Holding Berhad untuk mengeluarkan dengan video itu. Ia adalah percubaan untuk memalukan saya sebagai presiden senat,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Vigneswaran juga menuduh Loke bertindak seperti seorang hakim dan membuat keputusan sendiri mengenai kejadian itu.
Kontroversi selipar bermula Sabtu lepas ketika Loke mengetengahkan insiden di KLIA. Vigneswaran berada di sana pada 14 November untuk menghantar anak perempuannya.
Rakaman CCTV menunjukkan beliau memakai selipar, yang melanggar kod berpakaian kerana memasuki lobi VIP sambil mengabaikan seorang pegawai. Terdapat protokol kawasan larangan untuk VIP di lapangan terbang.
Vigneswaran menafikan pegawai itu cuba menghalangnya berhubung kod berpakaian. Beliau berkata pegawai itu membawanya ke arah lif.
Loke dan Vigneswaran saling berbalas kenyataan berhubung kejadian itu, yang kini disiasat polis, susulan laporan yang dibuat oleh pihak pengurusan lapangan terbang.
Loke berkata beliau menyerahkan perkara berkenaan dengan pelanggaran kawasan larangan itu kepada pihak polis.
“Biarkan polis menyiasat dan memutuskan,” katanya ketika disoal wartawan berhubung saman Vigneswaran. – 19 November, 2018.
Komen