PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang rusuhan dalam perhimpunan yang akan tetap diadakan bersama PAS pada 8 Disember.
Katanya, dakwaan bahawa beliau dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang akan membuat rusuhan itu hanya satu provokasi.
“Walaupun perhimpunan 8 Disember ini diadakan dan kita bina momentum di tiap-tiap negeri, tidak akan ada perkara yang menyebabkan berlaku rusuhan. Ini janji saya.
“Jangan buat buat provokasi kononnya Presiden Umno dan PAS akan membuat rusuhan. Kalau orang tidak ganggu kita, kita tidak ganggu orang,” katanya.
Perhimpunan itu dirancang untuk bantah cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Selain itu, ia juga bagi membantah tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy untuk mengadakan proses rundingan bagi mendapatkan persetujuan berhubung ICERD, kata Zahid.
Ketua pembangkang itu turut mengaitkan satu rakaman video yang tular di media sosial sejak semalam mengenai kenyataan Waythamoorthy berhubung hak beragama orang Hindu.
Video sepanjang kira-kira 2.40 minit itu menampilkan temuramah dengan Waythamoorty di Belanda.
Dalam video berkenaan, Waythamoorthy mendakwa orang Hindu di Malaysia dipaksa menukar agama untuk dilantik sebagai penjawat awam atau untuk mendapatkan biasiswa pendidikan.
Selain itu, Waythamoorthy juga mendakwa lebih 10,000 kuil dirobohkan manakala 23,000 lagi kuil berisiko akan dirobohkan.
Menurut Ahmad Zahid, kenyataan itu tidak wajar kerana menteri yang sepatutnya menjaga soal perpaduan sebaliknya bertindak di luar batas dengan menimbulkan dakwaan berkenaan.
“Jangan bohong kerana kita tidak pernah melakukan perkara-perkara tersebut seperti yang didakwa oleh Waythamoorthy di luar negara,” katanya.
Zahid menyatakan demikian petang ini susulan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad petang ini bahawa kekacauan tidak akan berlaku pada 8 Disember kecuali jika Umno menimbulkan hasutan.
Dr Mahathir juga dilaporkan sebagai berkata, usaha untuk melaksana ICERD juga satu perkara mustahil.
Beliau mengulas ucapan Zahid di Pasir Salak pada malam tadi yang mengancam untuk menggembleng orang Melayu untuk “mengamuk” jika kerajaan mengesahkan konvensyen kontroversi itu. – 18 November, 2018.
Komen