Umno mula agih kerusi dengan PAS untuk tanding PRU15


SM Amin

Umno mahu runding agihan kerusi bersama PAS untuk menghadapi PRU15 beberapa tahun akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 November, 2018.

UMNO memulakan rundingan dengan PAS untuk mengagihkan kerusi yang bakal ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, rundingan berkenaan telah sampai ke peringkat tertinggi dengan rakan baharunya itu untuk memastikan mereka dapat menguasai kerajaan kelak.

Bagi tujuan itu, Umno sedia memberi ruang untuk kerusi di negeri tertentu ditandingi dan dikuasai oleh PAS, katanya.

“Ini kita sudah berunding di peringkat tertinggi PAS. PAS kata biar sikit (tanding kerusi) asal menang daripada banyak tapi kalah,” katanya.

“Negeri mana PAS hendak, bagilah asalkan kita dapat kerajaan Persekutuan sebab PAS tidak mungkin boleh menubuhkan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Bagaimanapun Umno tetap berhasrat agar wakil rakyat mereka dilantik sebagai exco di negeri berkenaan, katanya.

“PAS hendak dua tiga negeri kita berilah, tetapi berilah sedikit exco yang patut,” katanya lagi dalam ucapan semasa pertemuan dengan pemimpin Umno bahagian di Kuala Selangor hari ini,

Tambahnya, beliau memberi mandat kepada timbalannya Mohamad Hasan untuk menubuhkan jawatankuasa Umno-PAS, terutama berhubung pembahagian kerusi itu.

Dalam ucapan itu beliau juga menyatakan ramalan bahawa Pengerusi Bersatu Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim akan bertelingkah untuk jawatan Perdana Menteri.

“Gajah dengan gajah bergaduh kita tengok sahaja. Kita jangan duduk tengah, tepuk tangan dekat tepi pun jangan. Suasana pasti berubah. Jangan berunding,” katanya. – 18 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen