DR Mahathir Mohamad gagal dalam usahanya menyingkirkan dua anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bantahan pihak kerajaan terhadap permohonan itu, kata peguam Haniff Khatri.
Haniff, yang mewakili Dr Mahathir, berkata suruhanjaya itu akan meneruskan prosidingnya pada 21 Ogos ini melainkan pihaknya mendapat arahan daripada bekas perdana menteri itu untuk merayu keputusan mahkamah itu.
“Mahkamah memutuskan permohonan Dr Mahathir supaya dua anggota suruhanjaya mengecualikan diri ditolak tanpa sebarang perintah mengenai kos,” katanya di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dua anggota suruhanjaya ialah pengerusinya Mohd Sidek Hassan dan pesuruhjaya Saw Choo Boon, yang enggan mengecualikan diri daripada siasatan terhadap kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara kira-kira tiga dekad lalu.
Haniff berkata hakim menyatakan anggota suruhanjaya tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.
“Hakim mengatakan tiada alasan yang sah bagi mahkamah membatalkan pelantikan pengerusi dan anggota suruhanjaya.
“Hakim juga berkata mereka tidak boleh mengarahkan permohonan mandamus kepada kerajaan Malaysia atau Perdana Menteri Najib Razak untuk menasihati Agong kerana dia bukan penjawat awam di bawah undang-undang mandamus.”
Putrajaya, melalui peguamnya, yang diketuai Amerjeet Singh, membantah permohonan itu dengan alasan suruhanjaya berkenaan tidak terbuka kepada semakan kehakiman.
Haniff berkata mereka mungkin memfailkan rayuan sekiranya terdapat arahan daripada Dr Mahathir.
“Jika kami mendapat arahan, kami akan memfailkan dan merayu hari ini atau esok untuk Mahkamah Rayuan membuat keputusan.
“Kami perlu meyakinkan mahkamah jika terdapat usul untuk mengekalkan suruhanjaya.”
Mahkamah minggu lepas menolak permohonan Dr Mahathir untuk melepaskan dua anggota suruhanjaya.
Dr Mahathir membantah mereka sebagai sebahagian daripada suruhanjaya dengan alasan mereka juga berada dalam pasukan petugas khas yang menyiasat kes itu dan mencadangkan penubuhan suruhanjaya.
Haniff berkata anggota pasukan yang mencadangkan tidak sepatutnya menjadi ahli suruhanjaya yang memutuskan kes itu.
Beliau berkata komposisi suruhanjaya adalah penting dan sebarang isu mesti diselesaikan bagi memastikan pendengaran yang adil.
Anggota lain yang berada dalam suruhanjaya itu adalah hakim Mahkamah Tinggi Kamaludin Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Tajuddin Atan, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Saw Choo Boon, ahli Institut Akauntan Malaysia K. Pushpanathan dan Pengarah Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Yusof Ismail. – 17 Ogos, 2017.
Komen