Raja Arab Saudi arah buka sempadan Qatar untuk jemaah haji


Raja Arab Saudi Raja Salman (tengah) memerintahkan agar jemaah haji dari Qatar dibenarkan memasuki negaranya untuk menunaikan haji. – Gambar AFP, 17 Ogos, 2017.

PEMERINTAH Arab Saudi, Raja Salman mengarahkan pembukaan semula sempadan dengan Qatar untuk memudahkan urusan jemaah haji, lapor media negara itu pada Khamis, sebagai tanda awal redanya krisis diplomatik terburuk di rantau ini.

Sempadan itu ditutup selepas pemerintah rantau Arab Saudi bersama Mesir, Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Qatar pada 5 Jun, menuduh ia menggalakkan kumpulan ekstremis Islam.

Pengumuman itu dibuat selepas Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman menerima utusan dari Doha, menurut agensi Agensi Akhbar Saudi (SPA), dalam pertemuan peringkat tertinggi yang pertama di antara negara itu selepas krisis meletus.

Raja Salman memerintahkan agar jemaah Qatar dibenarkan “memasuki Arab Saudi menyeberangi sempadan untuk menunaikan haji”, kenyataan yang disiarkan SPA.

Beliau juga mengarahkan jet peribadi milik syarikat penerbangan Arab Saudi dihantar ke lapangan terbang Doha “untuk membawa semua jemaah Qatar dengan tajaannya.

Putera mahkota menekankan mengenai “sejarah hubungan di antara rakyat Arab Saudi dan Qatar, dan di antara kepimpinan Arab Saudi dan keluarga diraja di Qatar”, kata kenyataan itu.

Arab Saudi bulan lepas mengatakan jemaah Qatar yang ingin melaksanakan haji tahun ini dibenarkan memasuki negara untuk menunaikan haji, tetapi masih dikenakan sekatan tertentu termasuk mesti menggunakan syarikat penerbangan yang mempunyai perjanjian dengan Riyadh.

Pihak berkuasa Qatar kemudiannya menuduh Arab Saudi memperjudikan jemaah haji ke Mekah dengan enggan menjamin keselamatan jemaah mereka.

Arab Saudi dan sekutunya menutup perhubungan udara, laut dan darat dengan Qatar, serta mengenakan sekatan ekonomi, menuduh Doha menyokong “pengganas” dan terlalu rapat dengan musuh mereka, Iran. – AFP, 17 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen