NAIB Presiden PKR Rafizi Ramli berpendapat PKR harus meletakkan Dr S Streram semula sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau kerana kawasan itu mempunyai jumlah peratusan pengundi India yang tinggi.
Rafizi menambah, akan turut menolak sekiranya dicalonkan untuk kerusi itu kerana ingin berehat daripada sebarang jawatan awam selama dua tahun.
“Pandangan saya, calon yang paling baik, sesuai, dan paling layak dan berhak adalah Dr Streram.
“Sebab pertama, kerusi itu ialah kerusi yang 32% pengundinya India, walaupun ditandingi oleh Umno, tapi komposisi kaum pengundi India yang paling ramai dalam seluruh Malaysia,” katanya kepada pemberita, selepas Kongres Nasional PKR ke-13 di Shah Alam, hari ini.
“Sewajarnya, calon India, dan saya sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 juga mempertahankan untuk PKR meletakkan calon India. Jadi ia agak sentimental bagi saya supaya calon India diletakkan kerana berdasarkan kajian Invoke calon India (adalah) calon yang terbaik,” kata Rafizi lagi.
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau bakal diadakan susulan keputusan Mahkamah Tinggi di Seremban pada Jumaat yang membatalkan kemenangan Mohamad Hasan dalam PRU14 lalu.
Mohamad yang juga timbalan presiden Umno menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas S Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon 28 April lepas kerana tidak memiliki pas calon yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Streram yang juga seorang pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon diadakan PRK semula DUN itu kerana mendakwa penyandangnya dipilih secara tidak sah.
Tambah Rafizi, Streram juga sudah bekerja di peringkat akar umbi sejak dua tahun lalu dan dikenali penduduk setempat.
“Beliau ketuk pintu jumpa orang, dikenali di bawah, khidmat beliau cukup baik sebab itu Umno dalam pilihan raya umum agak gentar berdepan dengan beliau hingga tidak dibenarkan untuk menghantar pencalonan,” kata Rafizi.
Streram hari ini juga berikrar untuk memberikan kemenangan kepada PKR sekiranya beliau dicalonkan semula bertanding di kerusi tersebut.
“Saya janji kita akan menangkan DUN Rantau, parti akan ada tambahan satu kerusi lagi di Negeri Sembilan, saya berjanji kalau diberi amanah di DUN Rantau,” katanya.
Bakal presiden PKR Anwar Ibrahim bagaimanapun tidak menolak kemungkinan parti itu akan meletakkan calon baru bagi kerusi DUN Rantau.
Anwar berkata, keputusan untuk memilih calon adalah hak pimpinan PKR Negeri Sembilan dan beliau mengambil sikap untuk tidak mengganggu proses tersebut.
Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir semalam berpendapat Streram merupakan calon paling layak mewakili parti itu Di DUN Rantau.
Akmal berkata Streram perlu diberikan peluang sekali lagi untuk bertanding di DUN berkenaan selepas dinafikan hak untuk bertanding di DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.
Semalam, bekas ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin juga berkata sudah meminta parti meletakkan calon wanita di kerusi itu. – 17 November, 2018.
Komen