SEORANG pengebom bunuh diri meletupkan diri di sebuah pusat kawalan keselamatan Hamas di selatan Gaza awal pagi waktu tempatan hari ini, kata satu sumber yang menyifatkan serangan itu sebagai satu serangan yang sangat jarang berlaku dilakukan militan Islam kepada kumpulan Palestin itu.
“Awal pagi ini pasukan keselamatan menahan dua orang yang menghampiri sempadan selatan (dengan Mesir),” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan.
“Salah seorang daripada mereka meletupkan diri, membunuh dirinya sendiri, mencederakan seorang lagi penyerang dan seorang pegawai keselamatan.”
Kenyataan turut mengatakan yang mereka yang cedera sudah dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
Saksi mengatakan ratusan anggota keselamatan dikerahkan ke sempadan selepas kejadian itu, yang berlaku di sempadan Gaza dan Mesir.
Pasukan keselamatan Gazan mengatakan penyerang dipercayai seorang militan Islam radikal.
Hamas sudah mentadbir Tebing Gaza selama sedekad tetapi seringkali dikritik kumpulan radikal kawasan itu.
Tetapi ini adalah serangan bunuh diri pertama yang menyasarkan pasukan keselamatan Hamas di Gaza.
Hamas ketika ini sedang mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan Mesir itu dalam usaha memperbaiki hubungan dengan Cairo.
Israel, sebuah lagi negara yang bersempadan dengan Gaza pula sudah mengenakan sekatan kepada Gaza itu dalam usahanya untuk menekan Hamas. – AFP, 17 Ogos, 2017.
Komen