PAS tak bertanding PRK Rantau, sokong Umno


PAS akan memberi sokongan menerusi undi atau jika perlu jentera kempennya, kata Setiausaha Agung PAS Takiyudin Hassan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2018.

PAS tidak akan meletakkan calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau dan akan menyokong Umno, kata pemimpinnya seperti dilapor portal Free Malaysia Today.

Setiausaha Agung PAS Takiyudin Hassan berkata PAS akan memberikan sokongan sama ada melalui jentera kempen atau mengarahkan ahlinya untuk mengundi Umno yang meletakkan Mohamad Hasan sebagai calon. 

“Sebab Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pun kita tak bertanding dan kerusi itu adalah kerusi tradisi Tok Mat (Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan) sendiri,” katanya dipetik berkata.

“Kita akan beri sokongan sama ada undi atau mungkin kalau perlukan jentera kita, kita akan turunkan.”

Mahkamah Pilihan Raya di Seremban semalam membatalkan kemenangan Mohamad di kerusi itu pada PRU14 dan mengarahkan PRK dilakukan.

Petisyen pilihan raya itu difailkan calon PKR Dr S Streram yang mencabar kesahan kemenangan Mohamad kerana Streram tidak dibenarkan masuk pusat penamaan untuk menghantar kertas pencalonan oleh pegawai pengurus pilihan raya.

Selepas keputusan itu diumumkan, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamid berkata parti Melayu itu akan meletakkan Mohamad sebagai calonnya sekali lagi.

Mohamad adalah menteri besar Negeri Sembilan selama tiga penggal dan sudah mempertahankan kerusi Rantau sejak 2004, mempunyai tempoh 14 hari untuk membuat rayuan sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya kecil itu, yang kelima sejak PRU14 9 Mei lalu. – 17 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen