Selamatkan makanan tidak terjual untuk golongan memerlukan


Noel Achariam Christopher Rabin

Para penghuni PPR Kerinchi beratur bagi mendapatkan bekalan makanan yang diagihkan The Lost Food Project. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 November, 2018.

LEBIH 850 keluarga berdaftar menunggu dengan sabar beratur di flat kos rendah PPR Kerinchi pada malam hujan baru-baru ini untuk mengambil bungkusan makanan yang akan dibuang oleh pemborong.

Bantuan makanan mingguan ini adalah sebahagian daripada program baru oleh The Lost Food Project (TLFP), badan kebajikan yang mengumpul makanan tidak terjual daripada pemborong dan pasar raya untuk diedarkan kepada golongan miskin.

“Kami memulakan projek ini apabila melihat banyak pasar raya membuang pisang yang lebam. Kita anggap ia satu pembaziran kerana kebanyakan pisang masih boleh dimakan,” kata Pengasas dan Timbalan Presiden TLFP, Angela Chin.

“Jadi kami berbincang dengan pihak pasar raya dan berkata kami akan ambil sebarang produk yang mereka tidak mahu dan kami fikirkan apa yang boleh dilakukan dengannya.”

Itulah bagaimana TLFP bermula pada 2015, memberi tumpuan kepada logistik mengumpul lebihan makanan daripada pasar borong, pasar raya, pengeluar dan pembekal, dan menyalurkannya kepada mereka memerlukan, seperti rumah kanak-kanak, rumah orang tua, organisasi bantuan wanita, dan kini, unit PPR di Lembah Klang.

Chin berkata tujuannya adalah untuk memperluaskan program “kepada seberapa banyak komuniti yang mungkin” di seluruh negara.

TLFP mempunyai pelbagai rakan kongsi makanan, tempat makanan diperoleh setiap hari.

Pelbagai sumber makanan daripada rakan kongsi terima termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan dari pasar borong Selayang, sementara sup dan makanan tahan lama datang dari syarikat seperti Campbells, Giant, Grocer Village, dan Big Grocer, kata Chin yang merupakan seorang pegawai bank.

Makanan mempunyai tarikh luput yang hampir atau mengalami kerosakan luar pada bungkusan, selamat daripada dilupuskan dan diberikan kepada mereka memerlukan kerana ia masih boleh dimakan, katanya.

Penduduk PPR di Kerinchi Bangsar, Tamilselvam Karthimurigaya, 60, berkata makanan itu berada dalam keadaan baik dan bantuan itu membantu mengurangkan beban kepada keluarganya yang seramai empat orang.

“Jika projek ini berterusan, tiada siapa akan pergi ke pasar malam,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika menunggu untuk mengambil pek makanannya.

Usaha The Lost Food Project mengumpul makanan tidak terjual daripada pemborong dan pasar raya untuk diagihkan kepada penduduk PPR Kerinchi membantu meringankan beban mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 November, 2018.

Pek makanan yang diagihkan di PPR Kerinchi berjumlah 8,278kg makanan, bersamaan 28,000 hidangan.

Seorang lagi penduduk Sawiyah Osman, 70, berkata projek itu merupakan peluang baik untuk “menyatukan” komuniti dari pelbagai kaum dan latar belakang.

“Ia adalah ‘masa masyarakat’, di mana orang tua dan muda, serta orang-orang daripada latar berbeza datang bersama.

“Sudah tentu sesiapa sahaja akan gembira menerima makanan percuma, ia seperti mendapat hadiah,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang menghadiri pelancaran TLFP di PPR Kerinchi berkata program makanan itu sangat dekat baginya kerana beliau dan kawan-kawannya pernah melakukan kerja amal yang sama seperti itu.

“Saya sendiri biasa membungkus makanan untuk diberikan kepada rakyat dalam PPR sebelum pilihan raya umum. Saya mendapati ini adalah satu usaha yang sangat mulia, kerana daripada membazir membuang makanan, apa kata simpan dan bawanya kepada orang lain.” katanya. – 17 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen