Tetapkan had umur perkahwinan di Sabah, kata hakim


Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Martin Idang mengulas isu had umur perkawinan pada sesi dialog bersama badan kehakiman, agensi, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah di Kota Kinabalu hari ini. – Gambar Jabatan Kehakiman, 16 November, 2018.

SEORANG hakim Mahkamah Tinggi menggesa ahli Parlimen di Sabah untuk menetapkan had umur perkahwinan bagi seluruh mahkamah awam dan mahkamah adat di negeri ini.

Di bawah Undang-undang Adat Negeri Sabah, tiada had minimum untuk remaja lelaki dan perempuan berkahwin.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Martin Idang berkata had usia perkahwinan perlu ditetapkan memandangkan tiada definisi ‘cukup umur’ untuk berkahwin di negeri ini.

“Usia yang layak untuk berkahwin adalah mereka yang telah akil baligh kerana tidak ada definisi untuk ‘usia yang tepat’ (untuk berkahwin) mengikut undang-undang.

“Sebagai contoh, terdapat kes di Ranau apabila seorang remaja perempuan berusia 14 tahun berkahwin secara sah dengan seorang lelaki atas persetujuan ibu bapa masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog bersama badan kehakiman, agensi, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

“Saya meminta ahli Parlimen untuk menetapkan definisi jelas tentang istilah ‘cukup umur’ (untuk berkahwin).”

Di bawah Akta Pembaharuan Undang-undang, usia yang layak untuk berkahwin ditetapkan pada usia 16 tahun dan perlu mendapatkan persetujuan ibu bapa jika berusia di bawah 18 tahun.

Undang-undang awam menetapkan rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas sebagai bebas untuk memilih pasangan masing-masing. – 16 November, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen