Hentikan penguatkuasaan sendiri seperti Skuad Badar


Mustafa K. Anuar

Skuad Badar di Kedah dipandu fahaman sendiri tentang penguatkuasaan, sehingga memalukan pasangan terlibat dengan memberi syarahan kepada mereka yang ditahan di tanah kubur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2018.

PENGUATKUASAAN sendiri seperti yang dilakukan sukarelawan Skuad Badar di Kedah dengan niat mencegah kegiatan disifatkan “berdosa” mesti dihentikan sepenuhnya.

Ia menjejaskan kedaulatan undang-undang, keselamatan dan demokrasi di negara ini.

Mereka dipandu fahaman sendiri tentang penguatkuasaan, sehingga memalukan pasangan terlibat dengan memberi syarahan kepada mereka yang ditahan di tanah kubur.

Masalahnya dengan tindakan jadi hakim seperti ini ialah ia tidak teratur seperti sistem perundangan yang sah.

Modus operandi kumpulan itu yang ditentukan oleh anggotanya bukan saja tidak mempunyai asas undang-undang, malah berbahaya kerana sering dibakar dengan semangat luar biasa mahu “membanteras gejala sosial.”

Kekuatan “misi” mereka juga bergantung pada apa yang mereka anggap perlu ditangani segera. Mereka juga berpendapat ia tidak dapat diselesaikan oleh proses perundangan yang perlahan dan lama, atau sikap laih pihak berkuasa.

Dek semangat mencapai cita-cita murni, dengan didukung faham bahawa tindakan mereka direstui agama, mereka ini sanggup “berperang” dengan pihak yang mereka anggap hina.

Cara berfikir seperti ini mendapat tempat dalam kalangan konservatif dan ekstremis dalam masyarakat.

Di Eropah, misalnya, kumpulan berhaluan kanan mengambil tindakan sendiri untuk melindungi kelompok mereka daripada “gejala” pendatang yang sejak kebelakangan ini mendapat perlindungan di negara mereka. Tindakan mereka itu lazimnya berakhir dengan keganasan.

Filipina pernah mengalami pertumpahan darah kerana tindakan jadi hakim sendiri.

Di Malaysia, pelbagai kelompok pelampau agama dan kaum yang menentang liberalisme dan sekutunya mungkin dapat menerima gaya pakaian dan bahasa kumpulan sukarelawan cegah maksiat ini.

Dalam keadaan seperti ini, tidak ada tempat untuk dialog dan diskusi, kalau pun tidak ditanggapi sambil lewa.

Menutup sebelah mata kepada fenomena ini akan memberikan isyarat yang salah kepada kelompok yang cenderung menguatkuasakan cara yang mereka anggap betul.

Skuad Badar ini sudah beroperasi sejak dua tahun tanpa dipedulikan oleh pihak berkuasa menyebabkan mereka naik tocang.

Tindakan jadi hakim sendiri yang tidak beradab dan melanggar undang-undang ini mesti dikecam.

Apa yang berlaku ini mesti ditangani dengan tegas, dan segera, sekiranya kita mahu mengelak faham yang membelakangkan undang-undang itu merebak dalam masyarakat.

Agensi penguatkuasa kerajaan harus memastikan tidak ada kelonggaran dalam penguatkuasaan undang-undang sehingga memberi ruang kepada kelompok seperti ini untuk muncul.

Pihak berkuasa terutamanya pihak berkuasa agama sendiri harus mengelak daripada menggunakan kaedah penguatkuasaan sama untuk mengelakkannya ditiru pihak lain.

Masalah ini serius dan menuntut parti politik, baik kerajaan mahu pun pembangkang, untuk menyatakan sikap.

Sikap itu adalah isyarat tegas bahawa rakyat Malaysia tidak bertolak ansur terhadap tindakan yang biadap dan berbahaya itu, terutamanya sekarang, ketika ada usaha mengukuhkan amalan dan institusi demokrasi negara dijalankan dengan serius.

Sikap sambil lewa terhadap kelompok ini akan membawa padah. – 16 November 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen